Sindiket proses jus dadah tumpas, rampasan lebih RM2 juta

Kumar menunjukkan sebahagian daripada dadah yang dirampas dalam dua serbuan, pada sidang akhbar di IPK Johor, Johor Bahru pada Ahad.
Kumar menunjukkan sebahagian daripada dadah yang dirampas dalam dua serbuan, pada sidang akhbar di IPK Johor, Johor Bahru pada Ahad.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Polis menumpaskan satu sindiket pengedaran dadah melibatkan rampasan lebih RM2 juta selepas melakukan dua serbuan berasingan di daerah ini, pada Selasa.

Ketua Polis Johor, Komisioner Polis M Kumar berkata, serbuan pada jam 1.30 petang sehingga 9 malam itu melibatkan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Johor dan JSJN Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seri Alam.

Menurutnya, serbuan pertama dilakukan di Setia Indah di sini dan dua lelaki tempatan berusia 32 dan 51 tahun serta seorang wanita warga asing berusia 32 tahun ditahan.

Sebahagian daripada dadah yang dirampas dalam dua serbuan, pada sidang akhbar di IPK Johor, Johor Bahru pada Ahad.
Sebahagian daripada dadah yang dirampas dalam dua serbuan, pada sidang akhbar di IPK Johor, Johor Bahru pada Ahad.

"Susulan penahanan ini membawa kepada serbuan di sebuah lagi rumah teres dua tingkat di Seri Alam, di sini yang dijadikan tempat memproses semula dadah. Dadah ini dibawa dari beberapa negeri.

"Hasil siasatan mendapati sindiket ini telah beroperasi sejak Januari lalu dengan memproses semula pelbagai jenis dadah menjadi serbuk jus pelbagai perisa. Setiap satu peket jus dadah ini dijual lebih RM200," katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, di sini pada Ahad.

Beliau memberitahu, jus dadah yang diproses itu kemudiannya dijual kepada pelanggan tetap di kelab-kelab malam dan juga untuk pasaran tempatan.

Katanya, dalam serbuan itu, sebanyak 345 peket serbuk ekstasi berperisa seberat 13.2kg, 27 biji pil ekstasi, enam peket syabu dan satu peket ketamin dengan jumlah keseluruhan RM2.2 juta berjaya dirampas.

Artikel Berkaitan:

Kumar menunjukkan tiga Individu diberkas dalam dua serbuan berasingan di rumah teres dua tingkat di Johor Bahru pada Selasa.
Kumar menunjukkan tiga Individu diberkas dalam dua serbuan berasingan di rumah teres dua tingkat di Johor Bahru pada Selasa.

"Dadah yang dirampas ini boleh digunakan seramai 44,348 orang penagih. Kita juga turut menyita sebuah kereta mewah, sebuah motosikal dan sebentuk cincin emas yang keseluruhan bernilai RM121,506 serta wang tunai RM5,300," ujar beliau.

Kumar berkata, hasil saringan urin mendapati semua suspek positif dadah jenis methamphetamine manakala hasil semakan rekod mendapati dua suspek mempunyai rekod lampau berkaitan dadah dan jenayah.

Tambahnya, modus operandi sindiket itu adalah dengan menjadikan rumah sewa sebagai stor simpanan dan tempat pembungkusan semula dadah untuk diedarkan ke pasaran tempatan.

"Kami sedang giat mengesan dalang serta saki baki ahli sindiket tersebut yang dipercayai masih bebas.

"Ketiga-tiga suspek yang ditahan ini kini dalam tahanan reman selama tujuh hari sehingga Selasa untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Kumar berkata, sejak awal tahun sehingga 3 April lalu JSJN Johor berjaya membuat tangkapan seramai 6,992 orang atas pelbagai kesalahan dadah dan rampasan dadah sebanyak 1.64 tan bernilai RM10.62 juta.

"Turut disita adalah harta sindiket bernilai RM4.74 juta. Justeru, kita harap masyarakat akan terus menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti pengedaran dadah yang berlaku di sekeliling mereka. Maklumat boleh disampaikan menerusi hotline JSJN 012-2087222," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!