Rugi RM126,000 ditipu sindiket jualan barang kemas 'online'

Empat individu terpaksa menanggung kerugian RM126,000 selepas disyaki menjadi mangsa penipuan sindiket jualan barang kemas secara dalam talian. Gambar hiasan (Gambar kecil: Mazli)
Empat individu terpaksa menanggung kerugian RM126,000 selepas disyaki menjadi mangsa penipuan sindiket jualan barang kemas secara dalam talian. Gambar hiasan (Gambar kecil: Mazli)
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Empat individu terpaksa menanggung kerugian RM126,000 selepas disyaki menjadi mangsa penipuan sindiket jualan barang kemas secara dalam talian minggu lalu.

Ketua Polis Terengganu, Datuk Mazli Mazlan berkata, mangsa pertama merupakan wanita berusia 29 tahun yang mahu membeli dua utas gelang emas dengan harga RM512 menerusi aplikasi TikTok.

Bagaimanapun, katanya, suspek telah memperdaya mangsa dengan memberikan pelbagai alasan sehingga wanita tersebut membuat 20 transaksi pembayaran ke dalam akaun bank dengan kerugian RM106,012.

"Kes seterusnya melibatkan seorang lelaki berusia 38 tahun yang berminat untuk membeli dua utas gelang emas melalui aplikasi Telegram pada harga RM3,000 namun mengalami kerugian RM8,000.

"Selain itu terdapat dua lagi kes dengan modus operandi sama iaitu iklan jualan barang kemas di TikTok dan mangsa diarah menekan pautan kononnya untuk disambung ke Telegram Jualan Emas Ar-Rahnu.

"Pada mulanya mangsa diminta membuat pembayaran terhadap pembelian emas itu pada harga murah namun selepas bayaran dibuat mangsa diarahkan membuat beberapa transaksi atas pelbagai alasan.

"Antara alasan diberikan ialah untuk bayaran untuk cukai, bayaran yuran, bayaran surat cagaran, bayaran wang jaminan yang mana alasan tersebut tidak munasabah untuk sesuatu pembelian," katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Dalam perkembangan sama, Mazli berkata, sepanjang tempoh 31 Mac sehingga 6 April lalu, Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Terengganu telah membuka sebanyak 20 kertas siasatan daripada 108 laporan yang diterima.

Artikel Berkaitan:

Katanya, siasatan itu dijalankan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan (KK) kerana menipu yang membabitkan jumlah kerugian sekitar RM662,903 dalam tempoh sama.

"Dalam tempoh tiga bulan pertama tahun ini sebanyak 1,138 laporan polis dibuat. Daripada jumlah itu pihak polis telah membuka 267 kertas siasatan berbanding 326 kertas siasatan daripada 1,469 kes dalam tempoh sama tahun lalu.

"Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan tidak terpedaya dengan modus operandi tawaran jualan murah terutama di media sosial yang dijual pada harga tidak masuk akal atau menekan pautan mencurigakan," katanya.