Proses pengundian awal PRK Kimanis selesai

Koperal Redond Sadong memasukkan kertas undi sewaktu mengundi awal di Pusat Pengundian Awal di Bilik Gerakan Balai Polis Membakut pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kimanis hari ini. Foto: Bernama

A
A
A

KIMANIS - Proses pengundian awal bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kimanis berakhir pada jam 12 tengah hari tadi dengan lapan daripada sembilan pengundi yang layak mengundi selesai menunaikan tanggungjawab masing-masing.

Rekod Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menunjukkan jumlah itu mewakili 88.89 peratus pengundi awal telah menunaikan kewajipan mereka.

Terdahulu, satu saluran mengundi di Bilik Gerakan, Balai Polis Membakut di sini mula dibuka pada jam 8 pagi tadi bagi membolehkan kesemua pengundi awal menunaikan hak mereka.

Pengundi awal tersebut terdiri daripada pegawai dan anggota polis yang bertugas di Balai Polis Membakut dan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Beaufort serta pesara polis.

Pusat pengundian awal itu dibuka selama empat jam dan ditutup pada pukul 12 tengah hari.

Petugas SPR (kiri) diiringi anggota polis membawa beg berisi peti undi untuk disimpan di Ibu Pejabat Polis Daerah Beaufort selepas Pusat Pengundian Awal Pilihan Raya Kecil Parlimen Kimanis di Bilik Gerakan Balai Polis Membakut ditutup pada 12 tengah hari hari ini. - Foto

Semua peti undi bagi pengundian awal akan disimpan di lokap IPD Beaufort dan pengiraannya akan dibuat pada hari pengundian, 18 Januari ini di pusat pengiraan undi berkelompok di Bilik Mesyuarat 2, Pejabat Daerah Beaufort.

Tinjauan Bernama di lokasi pengundian pada awal pagi ini mendapati cuaca yang baik turut membantu proses pengundian berjalan lancar.

Artikel Berkaitan:

Setiausaha SPR Datuk Mohamed Elias Abu Bakar yang sempat melawat pusat pengundian berkenaan berkata, proses pengundian awal hari ini berjalan lancar tanpa sebarang insiden tidak diingini.

“Tinjauan kami turut mendapati proses hari ini lancar dengan kesemua mereka mematuhi segala peraturan yang ditetapkan,” katanya kepada pemberita selepas lawatan tersebut.

PRK Parlimen Kimanis menyaksikan pertandingan satu lawan satu antara calon Parti Warisan Sabah (Warisan) Datuk Karim Bujang dan calon Barisan Nasional (BN) Datuk Mohamad Alamin.

SPR menetapkan hari mengundi PRK Kimanis ‪pada 18 Januari.

Parlimen Kimanis mempunyai dua kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) - Bongawan dan Membakut - dengan jumlah 29,664 pemilih layak mengundi, termasuk sembilan pengundi awal dan seorang pengundi tidak hadir yang berada luar negara. - Bernama