Penagih dadah mengamuk guna parang ditahan

Suspek berusia 30 tahun berjaya ditahan selepas mengamuk dengan melibas parang di Parit Buntar kelmarin. -FOTO: IHSAN PEMBACA
Suspek berusia 30 tahun berjaya ditahan selepas mengamuk dengan melibas parang di Parit Buntar kelmarin. -FOTO: IHSAN PEMBACA
A
A
A

BAGAN SERAI - Seorang penagih dadah ditahan polis selepas mengamuk menggunakan parang hingga mencederakan seorang lelaki di Parit Tali Air, Simpang 5, Parit Buntar di sini kelmarin.

Ketua Polis Daerah Kerian, Superintendan Omar Bakhtiar Yaacob berkata, polis menerima maklumat mengenai seorang lelaki berusia 30 tahun mengamuk daripada penduduk setempat kira-kira jam 4 pagi.

“Anggota polis tiba di tempat kejadian mendapati seorang lelaki bersenjatakan parang sedang mengamuk. Ketika ditahan, suspek telah melarikan diri ke kawasan sawah berhampiran

“Seorang lelaki berusia 40-an mengalami cedera ringan di bahagian perut dan tangan akibat dilibas dengan parang,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kerian di sini hari ini.

Menurutnya, gerakan mengesan suspek dijalankan berikutan hasil keterangan penduduk mendakwa suspek bertindak agresif dan kelihatan tidak terurus sejak dua hari lalu.

“Suspek akhirnya berjaya dikesan kira-kira jam 6.30 petang di kawasan Parit Haji Taib di sini. Suspek bertindak agresif dengan menjerit sambil melibas parang ke arah polis.

“Bagaimanapun, berlaku pergelutan sebelum suspek akhirnya berjaya ditahan. Tiada kecederaan dilaporkan,” katanya.

Omar Bakhtiar berkata, hasil siasatan mendapati suspek bertindak demikian kerana di bawah pengaruh dadah.

Artikel Berkaitan:

“Hasil ujian urin mendapati suspek positif heroin.

“Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan iaitu sengaja menyebabkan kecederaan,” katanya.