CAP gesa siasatan telus insiden pelanggaran feri

Laporan Sinar Harian mengenai insiden kemalangan feri di Pulau Pinang. Gambar kecil: Mohideen
Laporan Sinar Harian mengenai insiden kemalangan feri di Pulau Pinang. Gambar kecil: Mohideen
A
A
A

GEORGE TOWN – Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa hasil siasatan berhubung perlanggaran feri Pulau Pinang dengan kapal MV Mekar Jaya pada 1 September lalu didedahkan kepada umum bagi memastikan punca kejadian dikenal pasti dan pihak bertanggungjawab diambil tindakan.

Presidennya, Mohideen Abdul Kader berkata, kejadian di dalam sempadan Pelabuhan Pulau Pinang berhampiran Terminal Feri Sultan Abdul Halim (PSAH) itu boleh mengakibatkan bencana lebih besar selepas 21 penumpang feri dilaporkan cedera.

Menurutnya, CAP mengalu-alukan siasatan yang dijalankan Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang (SPPP) dan menggesa semua langkah perlu diambil bagi mengelakkan kejadian sama berulang.

“Insiden seperti ini boleh dicegah terutama dengan pelaksanaan Sistem Pengurusan Trafik Kapal (VTMS) pertama SPPP pada Jun lalu sebagai sebahagian usaha meningkatkan keselamatan, kecekapan dan kemampanan di Pelabuhan Pulau Pinang.

“VTMS berupaya memantau pergerakan kapal melalui sistem seperti radar dan Sistem Pengenalan Automatik (AIS),” katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Sebelum ini, Pengerusi SPPP, Datuk Yeoh Soon Hin berkata, satu pasukan siasatan khas peringkat kebangsaan akan ditubuhkan bagi menyiasat secara menyeluruh insiden melibatkan Feri Teluk Bahang dan kapal MV Mekar Jaya di perairan Pulau Pinang.

Soon Hin berkata, pasukan berkenaan akan diketuai Ketua Pengarah Jabatan Laut Malaysia selain turut melibatkan Penang Port Commission (PPC), Penang Port Sdn Bhd (PPSB) dan beberapa anggota bebas.

Menurutnya, penubuhan pasukan berkenaan merupakan arahan Menteri Pengangkutan, Anthony Loke yang mengambil serius berhubung insiden terbabit.

Dalam pada itu, Mohideen berkata, rekod AIS dan radar berpotensi menentukan kedudukan, kelajuan, hala tuju serta pergerakan kedua-dua kapal sebelum perlanggaran berlaku.

Artikel Berkaitan:

Katanya, rekod berkenaan juga boleh membantu menentukan sama ada kedua-dua kapal berada dalam laluan perlanggaran serta pada ketika mana risiko tersebut sepatutnya dapat dikesan.

“CAP menggesa PPC menentukan sama ada VTMS sedang memantau kedua-dua kapal ketika kejadian dan jika ya, apakah maklumat yang tersedia kepada pengendali sistem dalam beberapa minit sebelum perlanggaran.

“Penting juga untuk menentukan sama ada sebarang amaran atau komunikasi telah dikeluarkan kepada mana-mana kapal sebelum perlanggaran,” ujarnya lagi.

Dalam pada itu, beliau menegaskan VTMS tidak boleh dianggap sebagai pengganti kepada tanggungjawab nakhoda dan anak kapal.

“Walaupun sistem ini menyediakan kesedaran situasi serta membantu pemantauan dan pengurusan trafik kapal, tanggungjawab terhadap navigasi dan usaha mengelakkan perlanggaran kekal kepada anak kapal.

“Oleh itu, siasatan bukan sahaja perlu meneliti tindakan feri dan MV Mekar Jaya tetapi turut melihat sama ada pengaturan pengurusan trafik sedia ada termasuk VTMS yang baharu dilaksanakan berfungsi dengan berkesan,” katanya.

Mohideen berkata, dapatan siasatan perlu didedahkan kepada umum kerana orang ramai berhak mengetahui punca kejadian serta sama ada langkah keselamatan mencukupi telah dilaksanakan.

“Dapatan ini juga sepatutnya membantu mencegah kejadian sama pada masa hadapan. Mereka yang bertanggungjawab atas perlanggaran itu mestilah dipertanggungjawabkan,” katanya.

Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan seramai 21 penumpang mengalami kecederaan dalam insiden pelanggaran pada jam 8.40 malam itu.

Difahamkan, ketika kejadian, MV Mekar Jaya sedang bergerak dari Dermaga Air Dalam Butterworth menuju ke Swettenham Pier Cruise Terminal.

Insiden perlanggaran kemudiannya berlaku melibatkan kapal tersebut dan feri yang sedang dalam perjalanan ke Pengkalan Sultan Abdul Halim (PSAH), Butterworth.

Bagaimanapun, operasi perkhidmatan feri berjalan seperti biasa dan tidak terjejas susulan kejadian tersebut.

 

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!