Dividen Simpan SSPN 2023 catat 3.60 peratus

Zambry menunjukkan dividen Simpan SSPN 2023 sebanyak 3.60 peratus di Kementerian Pendidikan Tinggi pada Jumaat. Foto Bernama
Zambry menunjukkan dividen Simpan SSPN 2023 sebanyak 3.60 peratus di Kementerian Pendidikan Tinggi pada Jumaat. Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) pada Jumaat mengumumkan agihan dividen Skim Simpanan Pendidikan Nasional (Simpan SSPN) bagi tahun 2023 sebanyak 3.60 peratus.

Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, pemberian dividen itu melibatkan anggaran peruntukan RM357.65 juta yang akan memanfaatkan kira-kira 6.25 juta akaun Simpan SSPN.

Pada Majlis Pengumuman Dividen Simpan SSPN 2023 di sini pada Jumaat, beliau berkata, pemberian dividen iaitu 3.60 peratus bagi tahun 2023 adalah lebih tinggi berbanding agihan dividen 3.05 peratus pada tahun 2022.

"Ini sekali gus menunjukkan kecekapan PTPTN dalam pengurusan dana simpanan dengan efektif berlandaskan tadbir urus yang cemerlang, berintegriti dan strategik bagi memastikan pulangan yang optimum diberikan kepada para pelanggan," katanya.

Turut hadir, Pengerusi PTPTN, Datuk Norliza Abdul Rahim; Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Ir Dr Zaini Ujang dan Ketua Eksekutif PTPTN, Ahmad Dasuki Abdul Majid.

Zambry berkata, pada tahun 2023, deposit Simpan SSPN yang diterima adalah RM3.15 bilion dan sebanyak 513,002 akaun baharu direkodkan.

Beliau berkata, keseluruhan deposit terkumpul Simpan SSPN yang diterima semenjak tahun 2004 sehingga 31 Disember 2023 berjumlah RM17.39 bilion melibatkan 6.25 juta akaun.

"Prestasi yang memberangsangkan ini menunjukkan keyakinan dan sokongan para pendeposit Simpan SSPN kekal utuh dan berterusan,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Pemberian dividen 3.60 peratus bagi tahun 2023 adalah lebih tinggi berbanding agihan dividen 3.05 peratus pada 2022. Foto Bernama
Pemberian dividen 3.60 peratus bagi tahun 2023 adalah lebih tinggi berbanding agihan dividen 3.05 peratus pada 2022. Foto Bernama

Menurut Zambry, Simpan SSPN merupakan produk terbaik untuk masyarakat Malaysia membuat simpanan bagi tujuan pendidikan tinggi anak-anak.

"Saya harap dengan pemberian dividen yang kompetitif ini akan tingkatkan keyakinan masyarakat terhadap Simpan SSPN sekali gus menyuburkan amalan penabungan di negara ini.

"Paling penting ia akan mengurangkan kebergantungan masyarakat kepada pinjaman sekali gus mengelakkan anak daripada dibelenggu hutang apabila tamat pengajian kelak,” katanya.

Sementara itu, Norliza berkata, beliau menggalakkan masyarakat untuk menabung melalui Simpan SSPN seawal usia muda sebagai persediaan untuk melanjutkan pelajaran.

"Supaya apabila cukup umur untuk lanjutkan pelajaran mereka tidak perlu berhutang,” katanya.

Beliau berkata, Simpan SSPN mempunyai banyak kelebihan antaranya pelepasan taksiran cukai pendapatan ke atas simpanan sehingga RM8,000 setahun, perlindungan takaful ke atas pendeposit, Geran Sepadan percuma sehingga RM10,000 serta agihan dividen yang kompetitif.

"Dengan kelebihan yang diberi kerajaan dan ia patuh syariah elok rakyat di luar menabung dengan lebih banyak dengan Simpan SSPN,” katanya.

PTPTN dalam kenyataan dikeluarkan sempena majlis itu memaklumkan pemberian dividen yang lebih tinggi disokong oleh pulangan pelaburan yang positif dengan keuntungan pelaburan deposit bagi tahun 2023 adalah berjumlah RM446.22 juta.

"Prestasi pelaburan terus meningkat pada tahun 2024 berdasarkan pencapaian suku pertama tahun 2024 yang lebih baik berbanding tempoh yang sama tahun 2023,” menurut kenyataan itu.

PTPTN memaklumkan peningkatan pemberian kadar dividen Simpan SSPN bersesuaian dengan peningkatan Kadar Dasar Semalaman Bank Negara Malaysia yang meningkat sebanyak 0.25 peratus pada tahun 2023.

Selain itu, kadar dividen itu juga adalah kompetitif kerana lebih tinggi berbanding kadar keuntungan akaun simpanan dan simpanan tetap di bank tempatan di antara 2.05 peratus sehingga 3.45 peratus.

"Justeru, kadar dividen ini merupakan kadar pulangan yang lebih menguntungkan dan menjadikan Simpan SSPN kekal berdaya saing dan relevan setanding produk-produk lain di pasaran,” menurut PTPTN. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!