Agrobank lancar Janji Amir, video muzik raya

A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Agrobank melancarkan pratonton filem web pendek, Janji Amir bersama rakan media sempena Aidilfitri di Dadi Cinema, Pavillion pada Khamis.

Presiden Agrobank, Datuk Tengku Ahmad Badli Shah Raja Hussin berkata, filem pendek Aidilfitri itu memaparkan nilai-nilai murni seperti menghargai ibu bapa dan hubungan kekeluargaan, bersesuaian dengan ‘tagline’ Janji Amir iaitu #jangansampailarat.

Menurut beliau, pihaknya bukan sekadar mengetengahkan jenama tersebut, malah mahu bersikap terbuka dalam usaha menyampaikan mesej berunsur kemasyarakatan.

“Agrobank sentiasa komited dalam usaha memartabatkan masyarakat dan pembangunan komuniti melalui kempen kesedaran.

“Mesej ini diharapkan dapat menyemai perasaan kasih sayang, seterusnya mengukuhkan institusi kekeluargaan yang menjadi pemangkin kepada pembangunan sahsiah masyarakat,” katanya.

Beliau yang juga merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Agrobank berkata demikian ketika sidang media tayangan perdana Janji Amir dan video muzik raya daripada pengurusan kanan bertajuk ‘Esok Hari Raya’, di sini.

Karya berdurasi 10 minit yang dibarisi pelakon terkenal tanah air seperti Beto Kusyairy, Nadiya Nisaa dan Amerul Affendi bakal menemui penonton pada 5 April di saluran rasmi Youtube dan media sosial Agrobank.

Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Arthur Joseph Kurup turut hadir bagi merasmikan tayangan perdana terbabit sekali gus merasa kagum dengan inisiatif Agrobank mendekatkan diri kepada masyarakat.

Artikel Berkaitan:

"Saya menyokong penuh inisiatif Agrobank dalam penerapan nilai-nilai murni tanpa mengira kaum, bangsa dan agama.

"Sebagai institusi korporat, saya kagum dengan inisiatif Agrobank dalam menyampaikan mesej-mesej positif agar sahsiah cemerlang kemasyarakatan dapat dicapai," ulas beliau.

Dalam pada itu, pengarahnya, Bobby Husaini memaklumkan, pendekatan dibawa Agrobank menerusi Janji Amir memfokuskan teras nilai kemasyarakatan dan tidak mahu terlalu menjual produk perkhidmatan.

Tambah beliau, mesej #jangansampairalat mampu disampaikan secara terus kepada penonton bukan sahaja ibu bapa, malah seisi keluarga dan rakan-rakan.

“Dalam kehidupan seharian, kita mungkin tak tahu adakah kita akan berjumpa lagi selepas ini, jadi jangan sampai ralat kerana ia tiada ubat.

“Apa-apa perkara kecil kita tak pernah buat dulu kita akan ralat, jadi hargailah setiap masa yang ada.

“Justeru, kita kena faham kenapa Agrobank keluarkan video raya seperti ini, mereka adalah perkhidmatan yang berorientasikan manusia sebab ia faham tentang nilai dan nuansa masyarakat,” ujarnya lagi.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28