Gesa pindahkan koala ke New Zealand

Koala yang terjejas dalam kebakaran dahsyat di Australia dirawat di Taman Hidupan Liar Pulau Kangaru di barat daya Adelaide. - Foto Agensi
Koala yang terjejas dalam kebakaran dahsyat di Australia dirawat di Taman Hidupan Liar Pulau Kangaru di barat daya Adelaide. - Foto Agensi
A
A
A

WELLINGTON - Sebuah kempen awam menggesa koala dipindahkan dari habitat spesies itu yang musnah dalam kebakaran di Australia ke ladang pokok minyak kayu putih di New Zealand.

Kebakaran dahsyat telah memusnahkan populasi spesies marsupial terbabit yang mana satu pertiga koala di pantai tengah utara New South Wales dipercayai mati dalam tragedi tersebut.

Susulan itu, satu petisyen dilancarkan untuk menggesa kerajaan memindahkan sebahagian populasi koala berikutan hampir 11 juta hektar kawasan musnah dijilat api.

"Populasi koala semakin terancam dan tidak lagi berdaya maju dan dapat memainkan peranan penting dalam ekosistem di Australia. Ia boleh dibiakkan semula di New Zealand seperti spesies Australasia yang lain," menurut kenyataan petisyen 'Koala Relocation Society'.

Kempen menerusi change.org turut memaklumkan kepada Perdana Menteri New Zealand, Jacinda Ardern bahawa negara itu mempunyai kawasan hampir 30,000 hektar tanaman kayu putih yang dapat menjadi habitat baharu untuk menyelamatkan spesies terbabit.

Sebelum ini, Yayasan Koala Australia menganggarkan terdapat kurang daripada 100,000 koala pada awal 2019.

Sehingga tengah hari semalam, petisyen tersebut telah ditandatangani 7,500 individu, namun jurucakap Ardern mengesahkan kerajaan kini memberi fokus terhadap bantuan untuk mengawal kebakaran di Australia bagi membolehkan koala tinggal di habitat asal mereka.

Dianggarkan satu bilion koala dan haiwan lain mati dalam kebakaran dahsyat yang berlarutan di negara terbabit sejak tiga bulan lalu. - Agensi

Artikel Berkaitan: