AEON BiG peroleh RM150 juta pembiayaan Islam

Sheikh Farouk (kiri) dan Raja Amir (kanan).
Sheikh Farouk (kiri) dan Raja Amir (kanan).
A
A
A

AEON BiG (M) Sdn Bhd (AEON BiG) memperoleh fasiliti pembiayaan Islam sebanyak RM150 juta daripada HSBC Amanah untuk menyokong modal kerja amnya.

Pengarah Urusan AEON BiG, Sheikh Farouk Sheikh Mohamed berkata, ia penting untuk membiayai operasi harian perniagaannya di Malaysia sambil memupuk pembangunan aktiviti yang berfokuskan pematuhan syariah.

Menurutnya, pembiayaan itu juga akan merangkumi rancangan perkembangan AEON BiG yang akan membuka cawangan terbaharunya di Seremban pada Jumaat ini.

"AEON BiG merupakan anak syarikat AEON Co Ltd (Jepun) kini mengendalikan 21 pasar raya hyper di Malaysia. Pembiayaan terkini daripada HSBC Amanah ini amat penting untuk meningkatkan lagi kualiti operasi AEON BiG di Malaysia.

"Kami amat teruja untuk mengumumkan kerjasama ini yang menggariskan dedikasi kami untuk memberikan khidmat sebaik mungkin kepada komuniti sambil mematuhi prinsip-prinsip Islam selain berbangga dapat menyelaraskan strategi pertumbuhan dengan nilai-nilai kami.

"Dengan pembiayaan ini, kami bersedia untuk mempercepatkan pertumbuhan, rancangan perkembangan dan kerja-kerja penyelenggaraan yang akan memerikan impak positif dan nilai kepada pelanggan dan pada masa yang sama kekal dengan prinsip kami," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Sementara itu, Ketua Perbankan Gobal HSBC Malaysia, Christina Cheah berkata, semakin ramai pelanggan mencari penyelesaian kewangan yang fleksibel dan boleh dinaik taraf untuk membantu perniagaan mereka.

"Pembiayaan Islam pertama bagi AEON BiG ini akan menyokong pertumbuhannya di Malaysia dan meringankan beban modal kerja yang penting untuk operasi syarikat sambil membolehkannya memberi tumpuan kepada inisiatif strategik lain bagi mencapai cita-citanya mentakrifkan semula landskap runcit negara," ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif HSBC Amanah, Raja Amir Shah berkata, permintaan untuk pembiayaan Islam yang inovatif semakin meningkat dalam kalangan pelanggan domestik dan antarabangsa.

"Melalui kerjasama lintas sempadan dengan syarikat induk, AEON Co di Jepun, AEON BiG di Malaysia dan pejabat HSBC di Malaysia dan Jepun, perjanjian ini menunjukkan bagaimana kami menggunakan rangkaian antarabangsa untuk membuka ruang bagi pelanggan menikmati tawaran dan kestimewaan pembiayaan Islam," katanya.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28