Ringgit dibuka mengukuh berbanding dolar AS

Pada jam 9 pagi, ringgit menokok kepada 4.7480/7520 berbanding dolar AS daripada 4.7515/7535 pada Selasa. Foto hiasan
Pada jam 9 pagi, ringgit menokok kepada 4.7480/7520 berbanding dolar AS daripada 4.7515/7535 pada Selasa. Foto hiasan
A
A
A

RINGGIT dibuka mengukuh berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada Rabu, disokong minat belian lebih baik berikutan penyusutan Indeks Dolar AS (DXY) selepas peningkatan mata wang negara maju itu baru-baru ini.

Pada jam 9 pagi, ringgit menokok kepada 4.7480/7520 berbanding dolar AS daripada 4.7515/7535 pada Selasa.

Dolar AS terus susut walaupun Laporan Awal Penggajian dan Perolehan Tenaga Kerja (JOLTS) menunjukkan peluang pekerjaan meningkat sedikit kepada 8.75 juta pada Februari daripada 8.74 juta pada bulan sebelumnya.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata, tanpa mengambil kira data ekonomi AS yang positif, indeks DXY susut selepas mencatat lebihan belian.

"Dari sudut teknikal, indeks DXY kini sekitar 62.87 mata berdasarkan Indeks Pengukuhan Relatif (RSI) iaitu lebih rendah daripada 70 mata yang menandakan berlakunya lebihan belian," katanya kepada Bernama.

Sehubungan itu, beliau mengandaikan bahawa pasaran sedang menunggu data laporan gaji bukan perladangan (NFP) pada Jumaat ini untuk mendapat lebih banyak petunjuk berkaitan hala tuju kadar faedah AS.

"Jangkaan umum lebih tertumpu kepada tindakan Rizab Persekutuan AS serta tempoh bagi melaksanakan penurunan kadar faedah itu,” katanya.

Malah, Mohd Afzanizam menjangkakan perbandingan AS$/MYR dalam lingkungan RM4.74 hingga RM4.75 dengan sokongan segera pada RM4.7483.

Artikel Berkaitan:

Selain itu, ringgit diniagakan kebanyakannya rendah berbanding kumpulan mata wang utama lain termasuk susut berbanding euro kepada 5.1126/1170 daripada 5.1036/1057 semalam.

Ringgit juga diniagakan susut berbanding yen Jepun pada 3.1328/1356 daripada 3.1326/1339 namun meningkat berbanding pound Britain kepada 5.9687/9737 daripada 5.9717/9742, sebelum ini.

Selain itu, ringgit diniagakan kebanyakannya tinggi berbanding mata wang Asean.

Ringgit naik berbanding dolar Singapura kepada 3.5124/5158 daripada 3.5134/5151, mengukuh berbanding rupiah Indonesia kepada 298.6/299.0 daripada 298.9/299.1 sebelum ini dan menokok berbanding baht Thailand kepada 12.9585/9744 daripada 12.9659/9771 pada Selasa.

Unit tempatan itu tidak berubah berbanding peso Filipina pada 8.43/8.44 daripada 8.43/8.44 pada Selasa. - Bernama

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28