Masjid rosak dilanda ribut, jemaah terpaksa solat di ruangan sempit

Jemaah masjid menunaikan solat di ruang sempit selepas ribut menerbangkan bumbung sebahagian ruang solat lelaki dan wanita di masjid berkenaan.
Jemaah masjid menunaikan solat di ruang sempit selepas ribut menerbangkan bumbung sebahagian ruang solat lelaki dan wanita di masjid berkenaan.
A
A
A

PUCHONG - Jemaah di Masjid Nurul Huda Puchong terpaksa menunaikan solat fardu lima waktu dan tarawih di ruangan sempit apabila rumah ibadah itu mengalami kerosakan teruk selepas dibadai ribut dalam kejadian pada Sabtu lalu.

Nazir Masjid Nurul Huda Puchong, Nasiruddin Mohamed berkata, kejadian ribut kira-kira jam 5 petang itu menyebabkan sebahagian besar bumbung di ruang utama tempat solat lelaki dan wanita tercabut dan diterbangkan ribut.

Menurutnya, keadaan itu menyebabkan permaidani masjid itu basah dan dipenuhi air.

"Buat masa ini jemaah terpaksa menunaikan solat di ruang legar buat sementara waktu sehingga keadaan kembali pulih," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Selasa.

Nasiruddin memberitahu, Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) telah mengambil tindakan awal dengan melantik pihak kontraktor.

"Buat masa ini, bumbung yang tercabut telah ditutupi kanvas, namun kita lihat ia tidak memberi kesan baik untuk tempoh jangka masa panjang.

"Kita dapati, kanvas yang dipasang menutupi bumbung masjid ditakungi air dan bimbang bila-bila masa sahaja air takungan boleh jatuh ke ruang solat," ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Sebahagian bumbung Masjid Nurul Huda Puchong diterbangkan angin dalam kejadian pada Sabtu lalu.
Sebahagian bumbung Masjid Nurul Huda Puchong diterbangkan angin dalam kejadian pada Sabtu lalu.

Menurut Nasiruddin, satu mesyuarat khas diadakan bersama JAIS dan Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi mengemukakan beberapa cadangan kepada jemaah masjid itu untuk menunaikan solat Jumaat.

Katanya, antara cadangan itu termasuklah solat Jumaat diadakan di dewan berbumbung di Sekolah Agama Batu 13 Puchong yang terletak bersebelahan masjid berkenaan.

"Bagaimanapun, ia masih belum ada keputusan lagi kerana ia sudah tentu mempunyai syarat khusus untuk mendirikan solat Jumaat.

"Selain itu, ada cadangan mengadakan solat Jumaat di pekarangan masjid di kawasan masjid ini atau jemaah boleh menunaikan solat di Masjid Nurul Iman dan Masjid Al Madaniah yang terletak kira-kira enam kilometer dari masjid ini," tambahnya.

Orang ramai yang ingin membantu boleh menyalurkan sumbangan ke akaun Affin Islamic Bank (105630001219) atas nama Masjid Nurul Huda atau hubungi Nasiruddin di talian (019-2711460).