Dewan Negara lulus pindaan AUKU

Zambry ketika menghadiri Sidang Dewan Negara di Bangunan Parlimen, pada Selasa. Foto Bernama
Zambry ketika menghadiri Sidang Dewan Negara di Bangunan Parlimen, pada Selasa. Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Persidangan Dewan Negara pada Selasa meluluskan Rang Undang-Undang Universiti dan Kolej Universiti (Pindaan) 2023 bertujuan menambah baik tadbir urus, pengurusan aktiviti dan tatatertib pelajar.

Ia diluluskan dengan lebih suara bersetuju selepas 18 Ahli Dewan Negara mengambil bahagian pada sesi perbahasan rang undang-undang itu.

Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir ketika menggulung perbahasan menegaskan pindaan terhadap Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) 1971 itu dibuat selepas perbincangan dengan pelbagai pihak.

"Pindaan ini bukan dibuat secara sepihak, bukan hanya disyorkan pihak kerajaan tanpa melibatkan pihak-pihak lain khususnya dalam kalangan mahasiswa dan pelajar kita,” katanya.

Beliau berkata, kerajaan komited merealisasikan harapan mahasiswa yang ingin melihat perubahan dan landskap pengurusan organisasi pelajar dalam konteks masa kini.

Pindaan berkenaan antaranya melibatkan Sekyen 16B iaitu memindahkan kuasa Pihak Berkuasa Tatatertib daripada Naib Canselor kepada Jawatankuasa Tatatertib Pelajar bagi pengendalian kes tatatertib di universiti.

Ia turut melibatkan Seksyen 15A bagi membenarkan Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) dan badan pelajar untuk memungut wang dan menerima sumbangan dalam apa cara sekali pun tertakluk kepada peraturan berkuat kuasa.

Dalam pada itu, Zambry berkata, MPP dan badan pelajar dibenarkan membuka akaun dengan mana-mana institusi kewangan berlesen yang diluluskan Bank Negara dan pengurusan kewangan mereka akan diaudit individu atau firma bertauliah.

Artikel Berkaitan:

"Peraturan ini bukan satu bentuk sekatan sebaliknya ia mendidik pelajar mengurus kewangan MPP dan persatuan mereka dengan teratur, telus dan mengikut tatacara yang betul,” katanya. - Bernama

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28