Ringgit ditutup rendah berbanding dolar AS

Pada jam 6 petang, ringgit susut kepada 4.7285/7325 berbanding dolar AS daripada 4.7215/7280 ketika ditutup pada Jumaat minggu lepas.
Pada jam 6 petang, ringgit susut kepada 4.7285/7325 berbanding dolar AS daripada 4.7215/7280 ketika ditutup pada Jumaat minggu lepas.
A
A
A

RINGGIT ditutup rendah berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada Isnin memandangkan mata wang negara maju itu kekal kukuh meskipun pegawai Rizab Persekutuan AS (Fed) membuat kenyataan yang cenderung kepada kadar faedah rendah.

Kenyataan itu menunjukkan pendirian bank pusat AS terhadap pengurangan kadar faedah tahun ini.

Penganalisis berkata, kalangan peniaga kini menunggu data Indeks Pengurus Pembelian (IPP) Pembuatan ISM AS yang akan dikeluarkan lewat hari ini, untuk menjangkakan hala tuju pasaran seterusnya.

Pada jam 6 petang, ringgit susut kepada 4.7285/7325 berbanding dolar AS daripada 4.7215/7280 ketika ditutup pada Jumaat minggu lepas.

Pengarah Urusan SPI Asset Management, Stephen Innes berkata, ringgit tidak dapat memanfaatkan laporan positif dari China meskipun aktiviti perkilangan negara itu menunjukkan tanda-tanda lebih baik pada Mac apabila naik buat kali pertama sejak September 2023, dengan IPP pembuatannya meningkat kepada 50.8.

"Sebaliknya, ringgit kekal rendah, dipengaruhi oleh aliran konsisten ulasan cenderung kepada kadar faedah tinggi daripada Fed,” katanya.

Beliau berkata, kenyataan itu menunjukkan pihak Fed tidak tergesa-gesa untuk mengurangkan kadar faedah sehingga inflasi mencecah kadar sasaran mereka.

"Pendirian ini ditambah dengan komitmen kukuh Fed terhadap kebergantungan data, menyebabkan pasaran pertukaran mata wang asing mengalami dagangan dengan sentimen berhati-hati.

Artikel Berkaitan:

"Peniaga memantau rapat data pembayaran gaji bukan ladang (NFP) minggu ini untuk mendapatkan sebarang petunjuk berkaitan hala tuju dasar Fed, yang mungkin menyebabkan permulaan dagangan berhati-hati bagi minggu ini untuk ringgit,” katanya.

Pada penutupan dagangan, ringgit juga diniagakan rendah berbanding beberapa mata wang utama.

Unit domestik susut berbanding euro kepada 5.1002/1045 daripada 5.0907/0977 ketika ditutup pada Jumaat lepas serta rendah berbanding pound British kepada 5.9674/9729 daripada 5.9548/9630.

Ringgit lemah berbanding yen Jepun kepada 3.1232/1260 daripada 3.1194/1241.

Mata wang tempatan didagangkan bercampur-campur berbanding mata wang negara ASEAN.

Unit domestik turun berbanding baht Thailand kepada 12.9793/12.9949 daripada 12.9712/12.9983 pada Jumaat lepas dan rendah berbanding dolar Singapura kepada 3.5054/5087 daripada 3.4987/5040.

Walau bagaimanapun, ringgit tinggi berbanding rupiah Indonesia kepada 297.4/297.8 daripada 297.7/298.2 minggu lepas dan tidak berubah berbanding peso Filipina pada 8.40/8.41. - Bernama