Ajal selepas berbuka puasa

Keadaan motosikal Yamaha Y15 dinaiki mangsa yang terlibat dalam kemalangan dengan sebuah SUV hingga meragut nyawanya.
Keadaan motosikal Yamaha Y15 dinaiki mangsa yang terlibat dalam kemalangan dengan sebuah SUV hingga meragut nyawanya.
A
A
A

MELAKA - Perjalanan pulang seorang pekerja kilang selepas berbuka puasa berakhir tragedi apabila maut dalam kemalangan selepas merempuh kenderaan utiliti sukan (SUV) di Jalan Bukit Rambai, di sini, pada malam Ahad.

Dalam kejadian pada jam 7.50 malam itu, mangsa Muhammad Nur Syakirin Mohammad Razid, 20, meninggal dunia di tempat kejadian apabila mengalami kecederaan parah di bahagian kepala.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, ketika kejadian mangsa yang menunggang motosikal jenis Yamaha Y15 dalam perjalanan dari arah Batang Tiga ke Bukit Rambai.

Menurutnya, setiba di lokasi kejadian sebuah SUV jenis Proton X70 dari arah yang sama hendak masuk ke simpang kiri rumahnya, sebelum tiba-tiba mangsa datang dari belakang dan gagal mengelak.

Kemalangan maut yang berlaku di Jalan Bukit Rambai, di sini, pada malam Ahad.
Kemalangan maut yang berlaku di Jalan Bukit Rambai, di sini, pada malam Ahad.

"Akibat kemalangan itu, mangsa yang baru selesai berbuka puasa terlanggar bahagian sisi kiri SUV berkenaan menyebabkannya dia tercampak ke dalam longkang.

"Mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh petugas perubatan manakala pemandu SUV berusia 32 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan," katanya dalam satu kenyataan di sini, pada Isnin.

Mayat mangsa telah dihantar ke Unit Forensik Hospital Melaka untuk proses bedah siasat sebelum dituntut waris keluarga dan kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Artikel Berkaitan:

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!