Kerajaan baharu Palestin angkat sumpah

Mohammed Mustafa (tengah) mengangkat tangan semasa angkat sumpah di Ramallah. Foto AFP
Mohammed Mustafa (tengah) mengangkat tangan semasa angkat sumpah di Ramallah. Foto AFP
A
A
A

RAMALLAH - Kerajaan baharu Palestin diketuai Perdana Menteri Mohammad Mustafa mengangkat sumpah di sini pada Ahad.

Kerajaan baharu yang terdiri daripada 23 menteri berportfolio termasuk sekurang-kurangnya enam dari Semenanjung Gaza. Mohammad juga akan mengambil alih jawatan Menteri Luar daripada diplomat veteran Riyad Al-Maliki.

Semasa majlis mengangkat sumpah di hadapan Presiden Palestin Mahmoud Abbas, Mohammad berikrar bahawa kerajaan baharunya akan berkhidmat kepada semua warga Palestin, menekankan rujukan politik kerajaan adalah kepada Pertubuhan Pembebasan Palestin (PLO) dan program politiknya serta komitmen antarabangsa sebagaimana dimandatkan di dalam surat pelantikan oleh Mahmoud, lapor Xinhua.

Pada mesyuarat dengan kerajaan baharu selepas majlis itu yang berlangsung di Tebing Barat, Mahmoud mengulangi usaha sedang dijalankan untuk menyelaraskan tindakan dengan pihak Arab dan antarabangsa bagi menghentikan konflik di Gaza.

"Matlamat politik kami ialah mencapai kebebasan, kemerdekaan dan pembebasan daripada pendudukan Israel dan kami sedang berusaha dengan pihak Arab dan antarabangsa yang prihatin untuk memperoleh keanggotaan penuh dalam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu,” kata Presiden, menurut agensi berita rasmi, WAFA.

Pada 14 Mac, Mahmoud menugaskan Mohammad Ketua Dana Pelaburan Palestin yang juga penasihat ekonominya untuk membentuk kerajaan ke-19, menurut WAFA.

Pelantikannya dibuat selepas Kabinet kerajaan sebelum ini meletak jawatan berikutan suasana yang mencabar dengan perkembangan di Gaza, Tebing Barat dan Baitulmuqaddis selain daripada tekanan tinggi dihadapi Mahmoud untuk melakukan perubahan pada pihak berkuasa Palestin dan menubuhkan satu kerangka politik yang mampu melakukan tadbir urus sebuah negara Palestin di masa hadapan selepas konflik di Gaza. - Bernama-Xinhua

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28

Artikel Berkaitan: