Kontroversi selebriti menari: Peniaga menangis ekspo diarah tutup

Gambar tular selebriti menari ala dangdut yang dimuat naik di laman sosial. Gambar kanan: Eira Aziera
Gambar tular selebriti menari ala dangdut yang dimuat naik di laman sosial. Gambar kanan: Eira Aziera
A
A
A

BALING - Gara-gara seorang selebriti terkenal tanah air menari ala dangdut di atas pentas mencetuskan kontroversi sehingga menyebabkan Karnival Fiesta Raya Baling 2024 diarah tutup serta-merta.

Salah seorang peniaga di karnival tersebut menangis kerana tidak dapat menahan sedih selepas pihak berkuasa tempatan (PBT) negeri mengarahkan ekspo di tapak berkenaan ditutup serta-merta dalam tempoh 48 jam.

Arahan tersebut dikeluarkan selepas selebriti berkenaan dirakam sedang menari ala dangdut bersama beberapa orang lelaki lain, dan secara jelas telah melanggar garis panduan ditetapkan PBT.

Perbuatan tersebut menyebabkan peniaga menanggung kerugian kerana terpaksa menutup perniagaan mereka.

Seorang peniaga dikenali sebagai Eira Aziera berkata, dia kecewa dan mempersoalkan apa salah mereka sebagai peniaga kerana tidak terlibat dengan insiden tersebut.

“Penganjur bagi tahu vendor-vendor untuk tutup khemah dalam masa 48 jam. Apa salah kami (peniaga) sampai kami pula diarahkan tutup? Yang menari bukan kami, yang menari tu tak ada dalam atur cara majlis, tetamu yang tak diundang,” katanya dalam satu hantaran di Tik Tok, pada Sabtu.

Menurutnya, setelah diarah menutup gerai jualan masing-masing, secara langsung pekerja terlibat kehilangan kerja sehingga hari raya.

“Di mana budi bicara sebagai orang Islam. Patutkah orang Islam lain yang buat, orang Islam yang tak ada kena mengena menjadi mangsa. Ingat nak buka booth tak guna duit kah?” soalnya.

Artikel Berkaitan:

Aziera yang mengusahakan jualan donut red velvet memaklumkan sudah berhabis ribuan ringgit untuk membuka khemah di karnival tersebut, termasuk kos publisiti dan mengupah 10 orang pekerja.

“Saya tak akan jejak kaki ke Baling lagi selepas ini. Saya bayar pekerja seorang RM100. Ada 10 orang, hari-hari turun dari Sungai Petani ke USM (Universiti Sains Malaysia) dan dari USM turun ke Baling.

“Saya habiskan masa, tenaga, pengorbanan saya untuk promosikan tempat itu, bantu naikkan martabat tempat itu tapi saya kecewa dengan apa yang terjadi,” ujarnya.

Berdasarkan komen netizen, aksi selebriti berkenaan menari di atas pentas bukan sahaja mendapat kritikan daripada pelbagai pihak, malah kecaman turut dilemparkan terhadap Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor susulan insiden tersebut.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28