Wang simpanan 20 tahun lesap ditipu Macau Scam

No Image Caption
A
A
A

BATU GAJAH - Seorang warga emas berputih mata apabila wang berjumlah RM256,368 hasil simpanan tetap dan pemberian anak sejak 20 tahun lalu lesap selepas ditipu sindiket penipuan dalam talian atau Macau Scam.

Mangsa berusia 78 tahun yang berasal dari Tanjung Tualang di sini, telah diperdaya melalui panggilan telefon mendakwa dirinya terbabit dalam kes pemalsuan kad kredit di Sabah.

Ketua Polis Daerah Batu Gajah, Asisten Komisioner Ahmad Adnan Basri berkata, mangsa menerima panggilan daripada suspek dipercayai warga China mendakwa barang yang dikirim kepadanya di Pejabat Pos Kota Kinabalu, Sabah mengandungi banyak kad kredit palsu.

“Mangsa kemudiannya menerima panggilan dari nombor telefon +89082245522 yang memperkenalkan diri sebagai Sarjan Wong bertanyakan jumlah wang dan akaun yang pengadu miliki. Pengadu diarahkan untuk memindahkan kesemua wang bagi tujuan siasatan.

“Mangsa diminta untuk membuat kad ATM dan memindahkan wang simpanan tetap ke dalam dua akaun miliknya berikutan mangsa hanya menggunakan buku akaun bagi urusan perbankan sebelum ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurutnya, pergerakan mangsa juga seperti diperhatikan apabila suspek mengarahkan mangsa meninggalkan kedua-dua kad ATM itu di hadapan sebuah restoran di Tanjung Tualang.

“Mangsa diarahkan meletakkan sampul surat mengandungi kad ATM itu di atas bumbung sebuah kereta berwarna merah yang tidak dikenalpasti nombor pendaftaran sebelum diminta meninggalkan tempat tersebut.

“Bagaimanapun, mangsa tidak menyedarinya ditipu sehingga dia membuat kemas kini buku bank pada Isnin minggu lalu,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Ahmad Adnan berkata, siasatan mendapati terdapat 24 transaksi pengeluaran secara pindahan dan tunai berlaku antara 30 Disember 2019 hingga 3 Januari lalu.

“Siasatan mendapati kemungkinan suspek menggunakan orang tempatan untuk mengambil kedua-dua kad ATM itu di lokasi kejadian.

“Orang ramai dinasihatkan supaya tidak terpengaruh dengan modus operandi yang digunakan oleh suspek dan siasatan lanjut akan diteruskan bagi mengesan suspek,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.