Cadangan projek kereta api pemangkin ekonomi wilayah Borneo - Hajiji

Hajiji
Hajiji
A
A
A

KOTA KINABALU - Cadangan projek Kereta Api Trans Borneo menghubungkan Sabah, Sarawak, Brunei dan Kalimatan di Indonesia bakal menjadi pemangkin ekonomi bagi wilayah Borneo, kata Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor.

Beliau berkata, sebaik direalisasikan, projek rangkaian kereta api berkelajuan tinggi berkenaan akan memberi impak dalam meningkatkan kesalinghubungan rakyat dan pada masa sama meningkatkan ekonomi di wilayah itu.

"Dari segi ekonomi, ia akan memudahkan perdagangan, menggalakkan pertumbuhan industri di kawasan sempadan dan meningkatkan pelancongan di wilayah Borneo,” katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Menurut kenyataan itu, Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, kementeriannya telah menerima cadangan awal mengenai Projek Kereta Api Trans Borneo pada November tahun lepas.

Nanta berkata, idea berhubung projek mega yang menghubungkan Sarawak dan Sabah serta menyambungkan ke Kalimantan, Indonesia datangnya dari Kementerian Pengangkutan dan kerajaan Persekutuan telah meluluskan peruntukan kewangan khusus untuk menjalankan kajian kebolehlaksanaan laluan Kereta Api Trans Borneo melibatkan bahagian Sarawak-Sabah.

Kenyataan itu turut memaklumkan mengenai pengumuman oleh Brunergy Utama Sdn Bhd, sebuah syarikat berpangkalan di Brunei yang akan memulakan projek Kereta Api Trans Borneo, dicadangkan dilaksanakan dalam dua fasa melibatkan laluan sepanjang 1,620 kilometer.

Fasa pertama akan menghubungkan bandar-bandar dari barat ke pantai Timur bermula di Pontianak, Kalimantan Barat dan berakhir di Kota Kinabalu, Sabah manakala fasa dua pula melibatkan Kalimantan Utara dan Timur menghubungkan laluan utama dengan Samarinda dan ibu negara baharu Indonesia, Nusantara. - Bernama

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28

Artikel Berkaitan: