Sarawak negeri pertama biayai projek Persekutuan untuk percepat pelaksanaan - PM

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berucap semasa merasmikan Majlis Berbuka Puasa MADANI Sarawak 2024 di Masjid Al-Muttaqin malam ini. Foto Bernama
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berucap semasa merasmikan Majlis Berbuka Puasa MADANI Sarawak 2024 di Masjid Al-Muttaqin malam ini. Foto Bernama
A
A
A

KOTA SAMARAHAN - Sarawak bakal melakar sejarah apabila menjadi kerajaan negeri pertama yang membiayai terlebih dahulu projek persekutuan di negeri itu bagi mempercepat pelaksanaannya.

Mengumumkan perkara itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerjasama tersebut akan bermula dengan pelaksanaan projek Pusat Kanser Sarawak di sini.

"Saya setuju, kita bawa kaedah baharu di mana Sarawak boleh memulakan pembinaan sedikit, kita tampung kemudian... kita akan mulakan pembinaan pembangunan hospital kanser ataupun institut kanser ini sesegera mungkin," katanya.

Berucap pada Majlis Berbuka Puasa Madani Sarawak 2024 di Masjid Al-Muttaqin di sini hari ini, Anwar berkata, kaedah itu juga dipersetujui kerana kerajaan negeri Sarawak dapat memulakan projek berkenaan dengan lebih cepat dan pada kos lebih rendah.

"Kalau tengok kaedah biasa, ambil masa, kos tinggi. Orang Sarawak kata tak apa, kami bantu (dan) kami bagi beberapa rencana untuk memulakan projek," katanya.

Anwar juga berkata, kaedah baharu pelaksanaan projek itu dipersetujui dalam mesyuarat beliau bersama dengan Premier Sarawak Abang Johari Tun Openg serta kerajaan negeri yang berlangsung di Pejabat Jabatan Pengairan dan Saliran Sarawak hari ini.

Beliau berkata, Abang Johari telah mengangkat isu-isu pendidikan dan kesihatan di Sarawak pada mesyuarat itu dan menyatakan kesediaan kerajaan negeri untuk membiayai terlebih dahulu projek-projek Persekutuan yang perlu disegerakan.

"Kadang-kadang sekolah nak dibina, klinik di kawasan pedalaman. Maka saya kata kita (kerajaan Persekutuan) setuju sekiranya dalam keadaan negeri (Sarawak) berupaya nak mulakan projek itu dengan kos lebih rendah dan lebih cepat," katanya.

Artikel Berkaitan:

Perdana Menteri berkata, inilah kali pertama dalam sejarah Malaysia, kerajaan Persekutuan menyerahkan banyak tanggungjawab Persekutuan kepada kerajaan negeri yang menandakan kerjasama erat antara kerajaan Persekutuan dan Sarawak.

Pada majlis itu, beliau turut menyampaikan sumbangan kepada 150 asnaf dari bahagian Kuching, Samarahan dan Serian.

Turut hadir Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof, Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali dan Setiausaha Kerajaan Negeri Sarawak, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!