Lima lelaki bebas pertuduhan bunuh wanita warga emas

Mahkamah Tinggi di sini pada Jumaat membebaskan lima lelaki daripada pertuduhan membunuh seorang wanita warga emas dan mencederakan cucu lelaki mangsa di sebuah rumah di Sabak Bernam, Selangor lima tahun lepas.
Mahkamah Tinggi di sini pada Jumaat membebaskan lima lelaki daripada pertuduhan membunuh seorang wanita warga emas dan mencederakan cucu lelaki mangsa di sebuah rumah di Sabak Bernam, Selangor lima tahun lepas.
A
A
A

SHAH ALAM - Mahkamah Tinggi di sini pada Jumaat membebaskan lima lelaki daripada pertuduhan membunuh seorang wanita warga emas dan mencederakan cucu lelaki mangsa di sebuah rumah di Sabak Bernam, Selangor lima tahun lepas.

Hakim Nurulhuda Nur'Aini Mohamad Nor membuat keputusan itu selepas mendapati pembelaan berjaya menimbulkan keraguan yang munasabah dalam kes terhadap A Sri Mahavishnu, 42, S Kannadasan, E Venthaan, T Devaraju dan K Vikkines Varan, kesemuanya berusia 33 tahun.

"Dalam kes ini, isu utama adalah berkenaan identiti... pihak pembelaan telah mengemukakan notis alibi dan saksi mereka... selepas mengambil kira keterangan kedua-dua pihak, mahkamah mendapati pihak pembelaan berjaya menimbulkan keraguan munasabah... oleh yang demikian, mahkamah melepaskan dan membebaskan kesemua tertuduh," katanya.

Mereka didakwa membunuh P Runkanaikey, 78, di sebuah rumah di Jalan Rose Biru, Kampung Tebuk Pulai, Sabak Bernam antara jam 3.30 hingga 4.30 pagi 12 Ogos 2019 mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang membawa hukuman mati atau penjara seumur hidup.

Kesemua tertuduh juga didakwa mencederakan N Silamparasan, 27, dengan menetak tangan, bahu dan kaki mangsa pada tarikh dan di lokasi sama mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara 10 tahun atau dengan denda atau sebatan atau mana-mana dua daripada hukuman itu.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Mohammed Heikal Ismail manakala tertuduh diwakili peguam Zaleha Al-Hayat, GS Gabriel dan Dinesh Muthal.

Seramai 14 saksi pendakwaan dan 12 saksi pembelaan memberi keterangan sepanjang perbicaraan kes yang bermula pada 15 November 2021. - Bernama

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28

Artikel Berkaitan: