Lagi pangkalan tentera AS di Iraq dibedil roket

Pangkalan tentera al-Balad di utara Baghdad menjadi sasaran serangan terbaharu semalam. - Foto Agensi
Pangkalan tentera al-Balad di utara Baghdad menjadi sasaran serangan terbaharu semalam. - Foto Agensi
A
A
A

BAGHDAD - Pangkalan tentera udara yang menempatkan pasukan tentera Amerika Syarikat (AS) di Iraq sekali lagi menjadi sasaran bedilan roket semalam.

Sebanyak lapan roket Katyusha dilancarkan ke atas pangkalan tentera udara Al-Balad di wilayah Salahuddin yang terletak kira-kira 80 kilometer di utara Baghdad.

Sumber tentera mengesahkan empat askar Iraq turut cedera selepas bom mortar tersebut mengenai landasan di dalam kemudahan terbabit.

Sehingga kini, tiada pihak mengaku bertanggungjawab mendalangi serangan tersebut.

Insiden itu berlaku beberapa hari selepas Pasukan Pengawal Revolusi Iran (IRGC) melancarkan 22 misil sebagai serangan balas dendam ke atas pangkalan Ain al-Asad dan Erbil atas kematian komander kanan, Leftenan Jeneral Qasem Soleimani pada 3 Januari lalu.

Difahamkan, Balad adalah pangkalan tentera udara utama untuk jet pejuang F-16 bagi kegunaan tentera Iraq meningkatkan keupayaan pertahanan udara mereka.

Ia turut menempatkan kontinjen kecil tentera udara dan kontraktor AS.

Bagaimanapun, majoriti daripada mereka telah dipindahkan susulan ketegangan memuncak antara Washington dan Teheran sejak dua minggu lalu.

Artikel Berkaitan:

ARTIKEL BERKAITAN: Komander IRGC beri taklimat secara tertutup

Serangan kedua AS sasar komander IRGC di Yemen gagal

Ramal skrip AS 'diserang' berulang

"Kira-kira 90 peratus daripada penasihat dan kakitangan Sallyport dan Lockheed Martin yang merupakan pakar dalam kerja penyelenggaran pesawat telah dipindahkan ke Taji dan Erbil atas faktor keselamatan

"Kini hanya tinggal kurang daripada 15 anggota tentera AS dan sebuah pesawat di al-Balad," jelas satu sumber.

Situasi makin tegang selepas Washington berkeras enggan memanggil pulang kesemua tentera mereka dari Baghdad walaupun Parlimen Iraq sebulat suara meluluskan resolusi bagi melaksanakan langkah sedemikian pada minggu lalu. - Agensi