111 kes keracunan akibat pendedahan rokok elektronik

Sebanyak 111 kes berhubung pendedahan keracunan berkaitan rokok elektronik dan cecairnya telah dirujuk ke pusat panggilan Pusat Racun Negara (PRN) Universiti Sains Malaysia (USM) sejak 2015 hingga tahun lepas. Gambar hiasan Bernama
Sebanyak 111 kes berhubung pendedahan keracunan berkaitan rokok elektronik dan cecairnya telah dirujuk ke pusat panggilan Pusat Racun Negara (PRN) Universiti Sains Malaysia (USM) sejak 2015 hingga tahun lepas. Gambar hiasan Bernama
A
A
A

GEORGE TOWN - Sebanyak 111 kes berhubung pendedahan keracunan berkaitan rokok elektronik dan cecairnya telah dirujuk ke pusat panggilan Pusat Racun Negara (PRN) Universiti Sains Malaysia (USM) sejak 2015 hingga tahun lepas.

Ketua Pegawai Farmasi Perkhidmatan Maklumat Ubat dan Racun PRN USM, Sulastri Samsudin berkata, daripada jumlah itu pihaknya merekodkan panggilan kes pendedahan rokok elektronik yang tertinggi dengan 30.6 peratus iaitu lima kali ganda kenaikan pada tahun lepas berbanding 6.3 peratus pada 2019.

"Fasa pertama peningkatan adalah sebanyak dua kali ganda pada 2020 (13.5 peratus) dan 2021 (19.8 peratus) berbanding 6.3 peratus pada 2019 iaitu sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akibat Covid-19.

"Majoriti kes melibatkan kanak-kanak berusia kurang lima tahun. Situasi ini boleh dikaitkan dengan kebolehcapaian produk ini akibat penyimpanan tidak selamat dan bentuk pembungkusan produk serta kewujudan bahan perisa yang menarik seperti makanan dan gula-gula," katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Beliau berkata, fasa kedua iaitu pada 2022 dan 2023 pula menunjukkan perubahan tren dari kategori umur dengan lebih ramai remaja berusia lingkungan 15 hingga 19 tahun mengalami keracunan akibat penggunaan rokok elektronik secara sengaja.

Menurutnya, lebih 95 peratus kes yang dilaporkan adalah bergejala keracunan nikotin seperti muntah teruk, mengantuk, cirit-birit, sakit perut, pengsan dan sawan selain terdapat gejala lebih teruk seperti psikosis, halusinasi, perubahan tingkah laku yang agresif dan disyaki melibatkan penyalahgunaan dadah ke dalam cecair rokok elektronik.

Mengulas lanjut, Sulastri berkata, sejak 2021, PRN juga mula menerima kes pendedahan rokok elektronik yang dikaitkan dengan dadah Magic Mushroom atau bahan aktifnya psilosibin dan telah merekodkan 23 kes sehingga kini.

Justeru, beliau berkata, pihaknya meminta kerajaan supaya menyegerakan pelaksanaan Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2023 yang telah diluluskan tahun lepas dengan memastikan kawalan terhadap produk rokok elektronik diberi penekanan terhadap beberapa perkara.

Artikel Berkaitan:

Katanya, ia termasuk penggunaan penutup keselamatan bagi bekas isian semula cecair rokok elektronik, melarang penggunaan bahan perisa makanan dalam cecair rokok elektronik, menghadkan kepekatan nikotin dan jumlah cecair dalam cecair rokok elektronik serta bekas isian semula

"Selain itu, memastikan produk bahan kimia diuji dan didaftarkan untuk tujuan pemantauan, menetapkan pengoperasian piawai ketat untuk proses pengeluaran produk, mengukuhkan sistem pemantauan bagi kes pendedahan keracunan rokok elektronik dan mengawal akses rokok elektronik kepada golongan bawah umur," katanya. - Bernama

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28