10,000 orang dijangka sertai Iftar Madani di Dataran Putra esok

Majlis Iftar Madani bersama Perdana Menteri akan diadakan di Dataran Putra esok.
Majlis Iftar Madani bersama Perdana Menteri akan diadakan di Dataran Putra esok.
A
A
A

PUTRAJAYA - Seramai 10,000 orang dijangka membanjiri Dataran Putra esok bagi menyertai Majlis Iftar Madani yang turut disertai Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) menerusi kenyataan pada Rabu memaklumkan, program buat julung kalinya diadakan sempena Nuzul Quran itu turut menampilkan persembahan nasyid daripada Kumpulan Zawfan dan Awla, Tazkirah Santai Ustaz Norazam Bahadur dan Ustaz Mohd Rahimi P Ramlee serta Tausiyah Ramadan oleh Ketua Sekretariat Duat Al Falah, Ustaz Abdul Hadi Bakri.

"Sebanyak 10,000 pek makanan berserta bubur lambuk Kampung Baru akan diagihkan kepada pengunjung," katanya.

Program anjuran Jakim dan Perbadanan Putrajaya serta kerjasama dengan 14 agensi agama Persekutuan dan rakan strategik itu bermula jam 5.30 petang sehingga 8 malam Khamis.

"Bagi memastikan keselesaan orang awam yang hadir, perkhidmatan bas shuttle disediakan di checkpoint Hentian Suasana PJH ke Masjid Putra.

"Kenderaan boleh diletakkan di kawasan parkir di Suasana dan CIMB Presint 2 (selatan) serta di kawasan parkir berhampiran Kompleks Pejabat Perdana Menteri yang mencukupi," kata jabatan itu.

Semua lapisan masyarakat dijemput untuk hadir beramai-ramai bagi memeriahkan majlis berkenaan.

Artikel Berkaitan: