Peluang jurulatih timba ilmu Jepun

Hannah
Hannah
A
A
A

MAJLIS Sukan Negara (MSN) memperkenalkan inisiatif baharu apabila bekerjasama dengan Akademi Kejurulatihan Kebangsaan dan Institut Sukan Negara menganjurkan ‘High Performance Coach Education Series 2024’ bermula Selasa hingga 29 Mac ini.

Program empat hari melibatkan jurulatih-jurulatih di bawah Program Podium, Para, Pelapis Kebangsaan dan Pelapis Negeri itu dikendalikan oleh pakar-pakar daripada Nippon Sport Science University (NSSU) Jepun.

Program tersebut diketuai Pengarah Akademi Pembangunan Kejurulatihan NSSU, Profesor Masamitsu Ito.

Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh berkata, inisiatif tersebut membuktikan pihaknya serius untuk memperkasakan bidang kejurulatihan menerusi budaya latihan prestasi tinggi supaya selari dengan negara-negara kuasa sukan di benua Asia.

“Saya menyeru semua jurulatih dan pengurus sukan supaya menjadi ejen perubahan kerana budaya sukan prestasi tinggi lebih mampan adalah sesuatu yang amat kita perlukan ketika ini.

“Banyak yang boleh kita pelajari hasil jalinan kerjasama bersama NSSU kerana sukan prestasi tinggi sudah sebati dengan penggiat sukan di Jepun yang sentiasa meletakkan sasaran pencapaian tertinggi ketika mula melatih bakat-bakat muda di peringkat awal,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan program tersebut di MSN, Bukit Jalil pada Selasa.

Lima jurulatih tempatan daripada siri kursus kali ini bakal dipilih untuk menimba ilmu secara lebih mendalam mengenai budaya latihan prestasi tinggi secara tindakan (attachment) di universiti sains sukan terulung di Jepun itu.

Artikel Berkaitan:

NSSU mempunyai rekod menyumbang 41 pingat emas keseluruhan kepada kontinjen Jepun daripada temasya Sukan Olimpik dan Sukan Paralimpik.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28