Anggota bomba wajib pakai PFD ketika selenggara bot

Nor Hisham (dua, kiri) menyampaikan anugerah khidmat cemerlang kepada Pegawai Bomba dan Penyelamat, Nurul Hazira Halim pada Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Tahun 2023 dan Sijil Perkhidmatan 30 tahun Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia negeri Pulau Pinang pada Selasa. Foto Bernama
Nor Hisham (dua, kiri) menyampaikan anugerah khidmat cemerlang kepada Pegawai Bomba dan Penyelamat, Nurul Hazira Halim pada Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Tahun 2023 dan Sijil Perkhidmatan 30 tahun Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia negeri Pulau Pinang pada Selasa. Foto Bernama
A
A
A

BUTTERWORTH - Anggota bomba yang melakukan kerja-kerja penyelenggaraan aset bot diwajibkan memakai peranti pengapungan peribadi (PFD) berkuat kuasa serta-merta, kata Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Datuk Nor Hisham Mohammad.

Beliau berkata, penambahbaikan prosedur operasi standard (SOP) itu susulan insiden yang meragut nyawa seorang anggota bomba Mohd Izwan Illias ketika menyelenggara bot di Jeti Pangkalan Marin JBPM Mak Mandin di sini pada 22 Februari lepas.

"Sebelum ini, (pemakaian PFD) banyak difokuskan semasa operasi (penyelamatan) sahaja, jadi sekarang kita tambah baik dengan mewajibkan pemakaian PFD, maknanya selagi anggota itu berada di dalam bot dan di air kita akan ketatkan syarat,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis penyampaian Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2023 dan Sijil Perkhidmatan 30 tahun JBPM Pulau Pinang di sini pada Selasa.

Dalam pada itu, Nor Hisham berkata, laporan penuh siasatan tragedi mengorbankan nyawa Mohd Izwan, 42, yang juga anggota Balai Bomba Penyelamat (BBP) Butterworth telah diterima daripada jawatankuasa siasatan diketuai Timbalan Pengarah JBPM Kedah, Syufa’at Kamaron.

Menurutnya, hasil siasatan merumuskan Allahyarham meninggal dunia akibat kemalangan dan tiada elemen lain yang terlibat dalam kejadian itu.

Sementara itu, Nor Hisham berkata, JBPM menyasarkan untuk memeriksa 17,011 inap desa dan bilik sewa menerusi program Menghapus Bahaya Kebakaran (MBK) pada tahun ini.

Beliau berkata, 4,027 inap desa dan bilik sewa telah diperiksa setakat ini dengan 52 notis dikeluarkan kepada pemilik untuk mematuhi keperluan berhubung keselamatan kebakaran.

Artikel Berkaitan:

"Hotel ada perakuan bomba tetapi inap desa sebelum ini tidak diperiksa... kita buat (pemeriksaan) dengan kerjasama Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya bagi inap desa dan berharap dengan adanya penguatkuasaan ini, isu berhubung kebakaran melibatkan tempat ini dapat dielakkan,” katanya. - Bernama

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28