Guru bercinta dengan pelajar: KPM ambil tindakan selepas siasatan polis selesai

Laporan Sinar Harian. Gambar kecil: Fadhlina
Laporan Sinar Harian. Gambar kecil: Fadhlina
A
A
A

KLANG - Tindakan menggantung atau memecat guru wanita yang didakwa menjalinkan hubungan dengan pelajar berusia 17 tahun akan dilakukan selepas pihak polis selesai menjalankan siasatan.

Menterinya, Fadhlina Sidek berkata, setakat ini isu berkenaan telah menjadi kes di peringkat siasatan polis.

“Sekali lagi, saya pertegaskan maknanya selepas siasatan dan tindakan diambil, guru ini tidak boleh ada sebarang urusan dengan murid dan kita akan patuhi semua prosedur siasatan sehingga selesai,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar Majlis Temu Mesra Menteri Pendidikan bersama Calon-Calon Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) di Kolej Islam Alam Shah (Kisas) di sini pada Selasa.

Jelas Fadhlina, bagi pelajar lelaki yang terlibat pihaknya akan memberi perlindungan sepenuhnya sebagaimana garis panduan dalam KPM.

Sebelum ini, Ketua Penolong Pengarah Bahagian Siasatan Seksual Wanita dan Kanak-Kanak (D11) Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner Siti Kamsiah Hassan yang mengesahkan perkara itu berkata, laporan diterima pada Disember tahun lalu dan siasatan lanjut masih dijalankan dalam kes ini.

Kamsiah berkata, siasatan dijalankan di bawah Seksyen 14, Akta Kesalahan Seks Terhadap kanak Kanak 2017.

Siasatan masih diteruskan bagi melengkapkan kertas siasatan sebelum merujuk kepada Pejabat Timbalan Pendakwa Raya untuk mendapatkan arahan lanjut.

Artikel Berkaitan:

Terdahulu, dilaporkan seorang individu yang mendakwa dirinya sebagai saudara kepada mangsa telah meluahkan perasaannya berhubung kes itu di dalam media sosial.

Individu itu menerusi aplikasi X itu memberitahu ibu remaja lelaki berkenaan sudah membuat laporan polis serta laporan berasingan kepada Pejabat Pendidikan Daerah untuk tindakan lanjut.

Walaupun guru yang disiasat dalam kes ini dilaporkan sudah dipindahkan ke sekolah lain, namun mereka mendakwa mereka masih berhubung dan pernah bertemu dengan adiknya secara rahsia.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28