Agama bukan untuk dijadikan content media sosial

Ramadan adalah bulan untuk umat Islam melipatgandakan amalan. Gambar hiasan
Ramadan adalah bulan untuk umat Islam melipatgandakan amalan. Gambar hiasan
A
A
A

BAGAIKAN tidak terasa Ramadan telah pun memasuki hari ke-15 dan seperti sunah Rasulullah SAW separuh kedua bulan mulia ini fasa peralihan kepada amal ibadah yang lebih bersungguh-sungguh.

Bagaimanapun, apa yang mendukacitakan adalah makin ramai dan galak mereka di media sosial membuat 'content' atau kandungan berkaitan tidak berpuasa.

Kisahnya berkisarkan kepada kisah tidak berpuasa tanpa menyelitkan sebarang nasihat mengenai kewajipan menunaikan rukun Islam itu.

Merak Jalanan perhatikan trend ini meningkat saban tahun kerana mendapat respons dan tontonan tinggi. Sebenarnya apa yang ingin diajar kepada pengguna media sosial lain terutama anak-anak yang masih di bangku sekolah rendah?

Mungkin ada yang kata hidup ini jangan serius sangat, kena ada sedikit lawak. Ini bukan soal jenaka tetapi tentang kesucian bulan Ramadan dan kedudukan agama Islam itu sendiri.

Kata-kata hidup perlu sedikit lawak dan tidak boleh terlalu serius dilihat satu tiket untuk menormalisasi perkara-perkara sensitif yang tak perlu dijadikan content.

Ada berjuta perkara yang boleh dijadikan bahan lawak mengapa dipilih perkara berkaitan agama khususnya daripada mereka beragama Islam.

Merak Jalanan berharap pempengaruh dan pembuat kandungan lebih bijak memilih isu yang ingin dijadikan content.

Artikel Berkaitan:

Sepatutnya orang berilmu itu dijadikan rujukan terlebih dahulu sekiranya kurang alim dalam bab agama. Tanya dahulu baik buruk jika dipaparkan kepada umum.

Jangan hanya mengejar pengikut, tontonan dan pendapatan dengan memburukkan agama sendiri.

Apa yang Merak Jalanan ingin katakan adalah kita menjadikan perkara-perkara dalam agama sebagai bahan lawak tetapi apabila ada pihak lain 'menyentuh' Islam kita mula meloncat.

Kita sebagai duta kepada Islam, adakah orang akan tertarik jika individu itu memburukkan 'produk' sendiri?

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28