AmanahRaya perjelas isu wang caruman ahli KWSP

Amanah Raya Berhad
Amanah Raya Berhad
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kandungan mesej berkaitan penamaan bagi caruman ahli Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang kini tular melalui aplikasi WhatsApp adalah tidak benar.

Amanah Raya Berhad (AmanahRaya) dalam kenyataan pada Isnin memaklumkan kandungan mesej yang mendakwa wang caruman ahli KWSP melibatkan penama individu yang meninggal dunia terdahulu daripada ahli KWSP akan disalurkan secara automatik kepada AmanahRaya, juga mengelirukan.

"AmanahRaya, pada setiap masa boleh dilantik sebagai Pentadbir atau Pemegang Amanah oleh institusi mahkamah, Pejabat Pusaka Kecil atau AmanahRaya sendiri di bawah Akta Perbadanan Amanah Raya 1995.

"Kesemua harta pusaka yang ditadbir oleh AmanahRaya hanya akan dibahagikan kepada waris-waris yang sah mengikut peruntukan undang-undang yang terpakai,” menurut kenyataan itu.

Kenyataan itu menjelaskan wang caruman ahli KWSP hanya akan disalurkan kepada AmanahRaya apabila berlaku tiga keadaan iaitu jika AmanahRaya dilantik sebagai pentadbir kepada harta pusaka ahli KWSP yang telah meninggal dunia.

Keadaan lain adalah apabila AmanahRaya dilantik sebagai Pemegang Amanah bagi bahagian waris-waris ahli KWSP yang di bawah umur, atau AmanahRaya dilantik sebagai Pemegang Amanah bagi bahagian orang kurang upaya kerana mereka tidak mempunyai kapasiti dari segi undang-undang untuk menerima, menguruskan atau memegang wang simpanan KWSP berkenaan.

Orang ramai boleh mendapatkan maklumat lanjut berkenaan isu itu atau berkaitan perkhidmatan AmanahRaya dengan menghubungi talian 03-2723 7273, e-mel crmd@arb.com.my dan WhatsApp 03-2055 7557. - Bernama

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28

Artikel Berkaitan: