Sudah tiba masa wajibkan jeriji di tingkap kediaman tinggi

Seorang kanak-kanak lelaki berusia empat tahun maut selepas terjatuh dari tingkat 16 bangunan Blok B, Kuarters Integrasi Hospital Sungai Buloh, Selangor pada Ahad. Foto X @jllmisai
Seorang kanak-kanak lelaki berusia empat tahun maut selepas terjatuh dari tingkat 16 bangunan Blok B, Kuarters Integrasi Hospital Sungai Buloh, Selangor pada Ahad. Foto X @jllmisai
A
A
A

BELUM pun genap seminggu insiden seorang kanak-kanak lelaki berusia lima tahun maut akibat terjatuh daripada kondominium, negara dikejutkan sekali lagi dengan tragedi hampir sama pada Ahad.

Dalam kejadian terbaharu berkenaan, seorang kanak-kanak lelaki berusia empat tahun maut selepas terjatuh dari tingkat 16 bangunan Blok B, Kuarters Integrasi Hospital Sungai Buloh, Selangor.

Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, Superintenden Mohd Hafiz Muhammad Nor dilaporkan berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai insiden itu pada jam 4.28 petang Ahad dan anggota yang tiba di lokasi kejadian mendapati seorang kanak-kanak telah meninggal dunia.

Siasatan awal ke atas ibu dan bapa mangsa yang kedua-duanya berumur lingkungan 30-an mendapati ketika kejadian seisi keluarga itu sedang tidur.

Bagaimanapun, ketika ibu mangsa bangun dari tidur, beliau mendapati anak bongsunya itu berada di bahagian luar tepi jendela di ruang tamu yang telah terbuka tetapi tidak sempat mendapatkan mangsa sebelum mangsa terjatuh ke bawah.

Dalam kejadian pada Rabu lalu pula, seorang kanak-kanak lelaki warga Yaman maut selepas terjatuh daripada tingkat 21 sebuah kondominium di Bandar Putra Permai, Kuala Lumpur.

Kanak-kanak malang terbabit ditemukan maut apabila terjatuh ke dalam kolam renang yang terletak di tingkat tujuh kondominium berkenaan.

Malahan, kes maut jatuh bangunan membabitkan orang dewasa turut dilaporkan berlaku di lokasi lain sejak kebelakangan ini.

Artikel Berkaitan:

Dengan kejadian demi kejadian yang berlaku itu, sewajarnya pemasangan jeriji di tingkap dan pintu kediaman tinggi perlu diwajibkan khususnya demi keselamatan kanak-kanak.

Cadangan supaya kerajaan menggubal undang-undang yang mewajibkan pemasangan peralatan keselamatan seperti jeriji di tingkap dan pintu kediaman tinggi bagi mengelak kejadian tidak diingini menimpa penghuni pernah disuarakan pakar keselamatan binaan dan bomba pada November 2021.

Pengerusi Jabatan Seni Bina dan Alam Bina, Fakulti Kejuruteraan dan Alam Bina Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Madya Ar Dr Mohd Farid Mohamed berkata, penambahbaikan boleh dibuat dalam Undang-Undang Kecil Bangunan Seragam atau Undang-Undang Strata Bangunan dengan mewajibkan pemaju memasang peralatan keselamatan yang mempunyai reka bentuk bersesuaian.

Cadangan serupa turut disuarakan Pengerusi Pertubuhan Ikatan Komuniti Selamat (Ikatan), Tan Sri Lee Lam Thye pada 25 Julai 2022.

Lam Thye menegaskan, langkah itu ia bagi mengelakkan kejadian buruk seperti kanak-kanak terjatuh dari kondominium dan pangsapuri terus berlaku.

Justeru, cadangan itu perlulah diteliti semula kerajaan supaya tragedi pilu yang meragut banyak nyawa berkenaan dapat dielakkan daripada terus terjadi pada masa akan datang.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28