Hentikan kerja selenggara lebuh raya 2 minggu sebelum Aidilfitri

Kerja-kerja penyelenggaraan di semua lebuh raya perlu dihentikan sementara oleh syarikat konsensi dalam tempoh dua minggu sebelum Aidilfitri. Gambar hiasan
Kerja-kerja penyelenggaraan di semua lebuh raya perlu dihentikan sementara oleh syarikat konsensi dalam tempoh dua minggu sebelum Aidilfitri. Gambar hiasan
A
A
A

PONTIAN - Kerja-kerja penyelenggaraan di semua lebuh raya perlu dihentikan sementara oleh syarikat konsensi dalam tempoh dua minggu sebelum Aidilfitri.

Pengerusi Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM), Datuk Seri Ir. Hasni Mohammad berkata, langkah itu bagi memastikan aliran trafik lancar dan tidak mengganggu keselesaan orang ramai pada musim perayaan.

"Dijangka lebih 2 juta kenderaan menggunakan rangkaian lebuh raya ketika itu. Dengan jangkaan waktu puncak bermula pada 7 hingga 9 April dan 13 hingga 14 April iaitu ketika orang ramai pulang ke kampung dan pulang semula ke ibu kota selepas Aidilfitri.

"Syarikat konsesi juga telah mula merancang bagi memastikan tidak berlaku kerja-kerja pada saat akhir yang boleh memberikan kesan kepada pengguna yang menggunakan lebuh raya ketika itu," katanya.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Benut berkata demikian selepas menghadiri program Temashor Ramadan Majlis Belia Daerah Pontian di Sekolah Agama Sanglang, pada Ahad.

Hasni (dua dari kiri) bersama penerima sumbangan program Temashor Ramadan Majlis Belia Daerah Pontian di Kampung Sanglang, di Pontian.
Hasni (dua dari kiri) bersama penerima sumbangan program Temashor Ramadan Majlis Belia Daerah Pontian di Kampung Sanglang, di Pontian.

Tambahnya yang juga Ahli Parlimen Simpang Renggam, pengguna juga perlu merancang jadual perjalanan dengan mengikut cadangan waktu perjalanan bagi mengelak kesesakan waktu puncak.

“Saya juga dimaklumkan tentang pusat-pusat kawalan trafik sama ada yang diuruskan oleh syarikat konsensi atau LLM sendiri bersama Kementerian Komunikasi akan menyusun cadangan waktu perjalanan untuk mengelak perjalanan pulang ke kampung secara serentak.

Artikel Berkaitan:

“Selain itu, pengaktifan sementara lorong kecemasan atau ‘Smartlane’ di laluan kritikal dan juga pembukaan laluan kontra akan diumumkan di lokasi yang dikenal pasti bagi membantu kelancaran aliran trafik,” ujarnya.

Beliau turut menasihatkan kepada pengguna lebuh raya agar memastikan kenderaan mereka sentiasa dalam keadaan yang baik bagi perjalanan jauh untuk pulang ke kampung.

“Begitu juga kad prabayar perlu mempunyai nilai yang mencukupi bagi mengelakkan sebarang masalah ketika berada di plaza tol sehingga berlaku kesesakan dan sebagainya,” ujarnya.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28