Perak FC laung amaran awal

Muhammad Harith meraikan jaringan penalti ketika separuh masa pertama semasa aksi persahabatan Perak menentang Geylang International FC di Stadium Perak pada Sabtu.
Muhammad Harith meraikan jaringan penalti ketika separuh masa pertama semasa aksi persahabatan Perak menentang Geylang International FC di Stadium Perak pada Sabtu.
A
A
A

PERAK FC memberi laungan awal bakal bangkit menjadi antara pasukan yang digeruni saingan Liga Malaysia 2024/25 musim ini selepas mudah menjinakkan Geylang International FC dari Singapura 3-0 dalam aksi persahabatan pramusim di Stadium Perak pada Sabtu.

Meskipun terlalu awal untuk menilai pasukan 'baharu' kendalian Yusri Che Lah itu, namun keputusan di Ipoh nyata menggembirakan 2,060 penyokong Perak yang hadir ke stadium.

Yusri pada sidang akhbar selepas tamat perlawanan berkata, walaupun pasukannya mencatat kemenangan, namun ia bukan penanda aras pasukan yang dibentuk berada pada tahap terbaik dan masih terdapat kelemahan serta ruang yang perlu diperbaiki.

“Objektif utama untuk menguji pemain beraksi di tahap yang lebih tinggi dan lebih mencabar khususnya pemain tempatan dan import baharu.

"Mungkin kita akan rombak lagi kerana masih berbaki tiga lagi perlawanan persahabatan pramusim. Apa yang saya ingin lihat kombinasi serta keserasian antara pemain baharu,” katanya.

Beliau pada masa sama turut memuji persembahan anak buahnya dalam persiapan pasukannya menghadapi saingan liga yang dijadualkan pada 10 hingga 12 Mei depan.

Skuad The Bos Gaurus yang berada di kedudukan 11 selepas tamat saingan Liga Super 2023 dengan mengutip 22 mata dilihat lebih 'bernafsu' musim ini apabila menjadi antara pasukan yang paling rancak membawa masuk ramai pemain baharu bagi mengisi kelompongan dalam pasukan.

Pasukan yang popular dengan jolokan Kejor Yeop Kejor itu setakat ini berjaya mengikat sembilan pemain baharu termasuk tiga pemain import dan dikhabarkan hanya menunggu seorang lagi pemain import untuk melengkapkan pasukan.

Artikel Berkaitan:

Dalam aksi perlawanan itu tuan rumah berjaya memecahkan benteng pelawat seawal minit ketujuh menerusi pemain tunggal skuad Piala Malaysia 2018, Firdaus Saiyadi disusuli gol kedua Perak FC oleh Muhammad Harith Akif pada minit ke-33 menerusi sepakan penalti.

Keputusan 2-0 kekal hingga tamat separuh masa pertama dan bersambung babak kedua, Perak terus menekan Geylang dan hasilnya pemain import mereka Adilet Kanyabekov merembat deras untuk jaringan ketiga pada minit ke-66 sebelum pengadil perlawanan Mohammad Faizal Talib meniupkan wisel penamat.

Sementara itu, pengendali Geylang, Mohd Noor Ali menyifatkan pasukan tuan rumah lebih berkualiti terutamanya dalam melancarkan serangan bertali arus ke kubu Geylang.

“Mereka mempamerkan perlawanan yang berintensiti tinggi atau tempo permainan pantas, sama sahaja sama ada masa pertama ataupun masa kedua perlawanan, ia bagus untuk kami dapat perlawanan seperti ini.

“Saya berpuas hati dengan persembahan anak buah saya malam ini walaupun kita tidak bermain dengan dua import kita namun secara keseluruhan kita akan perbaiki persembahan kita seterusnya,” katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!