Mayat nelayan jatuh bot di Mersing ditemukan di Indonesia

Mayat yang ditemui di Pantai Pengudang, Pulau Bintan, Indonesia disahkan sebagai nelayan dari Mersing yang hilang akibat jatuh bot di Pulau Pemanggil pada 8 Mac lalu. Foto APMM Johor
Mayat yang ditemui di Pantai Pengudang, Pulau Bintan, Indonesia disahkan sebagai nelayan dari Mersing yang hilang akibat jatuh bot di Pulau Pemanggil pada 8 Mac lalu. Foto APMM Johor
A
A
A

MERSING - Mayat lelaki yang terdampar di Pantai Pengudang, Pulau Bintan, Indonesia pada 15 Mac lalu disahkan sebagai nelayan dari Mersing yang dilaporkan hilang baru-baru ini.

Pengarah Maritim Negeri Johor, Laksamana Pertama Maritim Nurul Hizam Zakaria berkata, pihak Maritime Rescue Sub Centre (MRSC) Johor Bahru telah menerima maklumat daripada Polis Republik Indonesia (POLRI) mengenai penemuan tersebut.

Malah katanya, berdasarkan pakaian, mayat tersebut dipercayai kru bot nelayan yang jatuh ke laut di Pulau Pemanggil, Mersing 8 Mac lalu.

“Pihak MRSC Johor Bahru juga telah membantu untuk membawa ahli keluarga mangsa ke Pulau Bintan bagi proses pengecaman dan pengesahan mayat di Rumah Sakit Umum Daerah Raja Ahmad Tabib Provinsi Kepri-Tanjung Pinang.

“Kakak mangsa, Noraini Alwi, 36, kemudiannya telah membuat pengesahan bahawa mayat yang ditemui merupakan Muhamad Sufian Alwi, 32, yang dilaporkan hilang di laut sewaktu menarik pukat di perairan Pulau Pemanggil 8 Mac lalu.

“Mangsa dilaporkan telah hanyut sejauh 86.3 batu nautika (160 km) dari lokasi mangsa dilaporkan hilang,” katanya.

Sementarara itu, Nurul Hizam berkata, pihak MRSC Johor Bahru menzahirkan takziah kepada keluarga mangsa dan merakamkan penghargaan kepada pihak berkuasa Indonesia iaitu pihak Badan Nasional Pencarian dan Pertolongan (BASARNAS), POLRES Bintan dan Konsulat Jenderal Republik Indonesia (KJRI) di Johor Bahru.

“Terima kasih juga kepada semua pihak yang membantu melaksanakan Ops Carilamat ini yang ditutup dengan penemuan mangsa,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28