Anih Berhad tambah 20 peratus pekerja bertugas musim perayaan

Edaran pek Ramadan ‘on-the-go’ diedarkan kepada pengguna di Plaza Tol Gombak sempena Kempen Kesedaran Jalan Raya Ramadan dan Syawal pada Jumaat. Gambar kecil: Radzimah
Edaran pek Ramadan ‘on-the-go’ diedarkan kepada pengguna di Plaza Tol Gombak sempena Kempen Kesedaran Jalan Raya Ramadan dan Syawal pada Jumaat. Gambar kecil: Radzimah
A
A
A

GOMBAK - [DIKEMAS KINI] Anih Berhad akan menambah 20 peratus kakitangan yang akan bertugas pada musim perayaan Aidilfitri bagi melancarkan aliran trafik terutama di plaza tol.

Pengurus Besar Kanan Anih Berhad, Datin Radzimah Mohd Radzi berkata, trafik dijangka mencecah sehingga 180,000 kenderaan sehari bagi Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak pada hari puncak perayaan berbanding 105,000 hari biasa.

Sementara di Lebuhraya Pantai Timur (LPT) pula katanya, jumlah kenderaan dijangka meningkat daripada 45,000 kenderaan kepada sehingga 90,000 kenderaan menjelang minggu terakhir Ramadan.

"Sebagai langkah persiapan, kami berikan penekanan kepada tiga aspek membabitkan operasi iaitu kelancaran tol plaza, kawasan Hentian Rehat dan Rawat (RnR) serta trafik.

"Untuk memudahkan perjalanan pengguna pulang berhari raya, kami akan menambah bilangan pekerja di plaza tol selain mengambil khidmat anggota Rela untuk bantuan kelancaran trafik di sana," katanya ketika ditemui pada Kempen Kesedaran Jalan Raya Ramadan dan Syawal di Plaza Tol Gombak anjuran Yayasan Ikhlas pada Jumaat.

Sebanyak 300 pek Ramadan ‘on-the-go’ serta risalah keselamatan jalan raya telah diedarkan kepada pengguna jalan raya sempena program itu.

Turur hadir, Pengarah Penyelidikan Kejuruteraan Jalan Raya dan Persekitaran (Reer) MIROS, Dr Muhammad Marizwan Abdul Manan dan Pengurus Besar Yayasan Ikhlas, Bilal Jailani

Dalam pada itu, Radzimah turut memaklumkan Anih akan menambah tempat parkir yang lebih luas di kawasan rehat selain menyediakan tandas serta surau tambahan jika terdapat keperluan.

Artikel Berkaitan:

Selain itu katanya, unit peronda lebuh raya akan ditingkatkan selain melakukan koordinasi bersama polis peronda, Emergency Response Team (ERT) dan St John bagi bantuan kecemasan.

Radzimah (kanan) serta Bilal mengedarkan pek makanan kepada pengguna di Plaza Tol Gombak.
Radzimah (kanan) serta Bilal mengedarkan pek makanan kepada pengguna di Plaza Tol Gombak.

Tambahnya, bagi kelancaran trafik, beliau menasihatkan pengguna untuk merujuk jadual waktu perjalanan disyorkan Anih bagi mengelak kesesakan.

"Jadual waktu ini untuk memberikan penerangan kepada pengguna waktu sesuai perjalanan susulan pengguna datang daripada tiga negeri Kelantan, Terengganu dan Pahang.

"Jadi kita pecahkan kumpulan ini kepada tiga peringkat supaya tidak serentak memasuki lebuh raya," katanya.

Beliau turut memohon kerjasama daripada pengguna untuk memastikan e-wallet dan kad Touch n Go (TNG) mempunyai baki mencukupi supaya tidak mengganggu kelancaran di plaza tol.

Sementara itu, Kempen Kesedaran Jalan Raya Ramadan dan Syawal merupakan inisiatif Yayasan Ikhlas untuk meningkatkan kempen keselamatan pengguna dalam usaha bersama-sama membantu menurunkan peratusan jumlah kematian akibat kemalangan musim perayaan sebanyak 10 peratus.

Bilal berkata, kempen itu merupakan usaha kolaboratif Yayasan Ikhlas bersama Anih Berhad serta Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) yang sama-sama berusaha menangani isu-isu keselamatan jalan raya.

"Di bulan Ramadan yang penuh berkat ini, marilah kita mengukuhkan rasa kasih sayang, peduli dan bertanggungjawab terhadap satu sama lain dengan memastikan keselamatan perjalanan kita bersama.

"Ini merupakan langkah kecil tetapi bermakna dalam menyumbang kepada masyarakat yang lebih selamat dan harmoni," katanya.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28