Aidilfitri: Tempoh subsidi penerbangan dilanjutkan sehari

Anthony Loke - Foto: Bernama
Anthony Loke - Foto: Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] Kementerian Pengangkutan (MOT) melanjutkan tempoh bantuan subsidi penerbangan dari tiga kepada empat hari sebelum sambutan Hari Raya Aidilfitri April depan.

Menterinya, Anthony Loke Siew Fook berkata, ia membabitkan tarikh penerbangan pada 6, 7, 8 dan 9 April.

"Mengambil kira bahawa 6 April adalah Sabtu iaitu sebelum Hari Raya, kerajaan memahami ramai mengambil peluang untuk pulang hujung minggu," katanya kepada pemberita ketika sidang akhbar pada Jumaat.

Menurutnya, penambahbaikan itu dijangka akan memberi implikasi kewangan tambahan sehingga RM1.8 juta untuk kerajaan.

"Sesiapa yang membeli tiket penerbangan dari Semenanjung Malaysia ke Sabah, Sarawak dan Labuan pada empat hari itu tidak perlu membayar melebihi RM599 untuk harga tiket asas kerana sebarang kos melebihi harga maksimum tersebut akan ditanggung kerajaan," jelasnya.

Anthony berkata, penjualan tiket penerbangan tersebut akan bermula jam 5 petang, Jumaat.

Pada 15 Disember lalu, MOT telah melancarkan inisiatif bantuan subsidi sempena musim perayaan untuk penerbangan antara Semenanjung Malaysia dan Sabah, Sarawak sertaLabuan.

Di bawah inisiatif tersebut, kerajaan menanggung kos tiket penerbangan sehala yang melebihi RM599 untuk tiga hari sebelum perayaan Tahun Baru Cina, Hari Raya Aidilfitri, Pesta Kaamatan, Hari Gawai dan Krismas.

Artikel Berkaitan:

Tambah beliau, MOT menerusi Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM) juga telah memudah cara sebanyak 342 penerbangan domestik tambahan di seluruh negara untuk perjalanan antara 3 hingga 18 April.

“Strategi ini telah menunjukkan kesan yang positif iaitu lebih banyak tiket penerbangan terutamanya bagi laluan dari Kuala Lumpur ke destinasi utama di Sabah dan Sarawak dijual pada harga lebih murah,” katanya.

Sebagai memenuhi permintaan pengangkutan awam yang tinggi sempena Aidilfitri, beliau berkata, Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) juga akan menyediakan enam perkhidmatan tren elektrik (ETS) tambahan bermula 4 hingga 15 April bagi beberapa laluan.

Ia melibatkan masing-masing dua perkhidmatan laluan untuk KL Sentral-Padang Besar-KL Sentral; KL Sentral-Butterworth-KL Sentral dan KL Sentral-Ipoh-KL Sentral.

"Tren tambahan ETS tersebut menawarkan sebanyak 1,260 tiket sehari menjadikan jumlah keseluruhan tiket tambahan adalah sebanyak 15,120 termasuk tren ekspres manakala jumlah keseluruhan tiket ETS yang ditawarkan termasuk tren biasa dan tambahan bagi musim perayaan Aidilfitri sebanyak 135,000 tiket," ujarnya.

Bagi perjalanan ke Pantai Timur pula, beliau berkata, KTMB menyediakan dua perjalanan tren khas Ekspres Lambaian Aidilfitri (ELA) pergi dan balik yang akan beroperasi dari Stesen KL Sentral ke Stesen Tumpat, Kelantan dan sebaliknya.

"Sebanyak 952 tiket ditawarkan untuk perkhidmatan khas itu khusus bagi mereka yang pulang ke Pantai Timur," katanya.

Tren Khas ELA akan berhenti di 17 buah stesen iaitu Stesen KL Sentral, Bandar Tasik Selatan, Kajang, Seremban, Pulau Sebang, Gemas, Bahau, Mentakab, Jerantut, Kuala Lipis, Gua Musang, Dabong, Kuala Krai, Tanah Merah, Pasir Mas, Wakaf Bharu dan Tumpat.

Tiket tambahan untuk ETS dan perkhidmatan khas ELA akan mula dijual pada hari ini bermula 5 petang menerusi aplikasi KTMB Mobile (KITS) dan juga di kiosk tiket yang tersedia di semua stesen utama KTMB.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!