[VIDEO] Na’imah gagal dapatkan pasport secara kekal

A
A
A

KUALA LUMPUR - Isteri bekas Menteri Kewangan, Tun Daim Zainuddin iaitu Toh Puan Na'imah Abdul Khalid gagal untuk mendapatkan pasport antarabangsanya secara kekal, di Mahkamah Tinggi di sini pada Jumaat.

Ia selepas Hakim, Datuk Ahmad Bache menolak permohonan Na’imah selaku pemohon, bagi menyemak perintah Mahkamah Sesyen yang menahan dokumen perjalanannya itu selepas didakwa atas pertuduhan gagal mengisytiharkan harta.

Beliau turut bersetuju dengan hujahan pendakwa raya bahawa, tiada jaminan pemohon akan kekal berada di negara ini, jika pasport tidak ditahan di mahkamah.

Na’imah
Na’imah

“Mahkamah berpendapat bahawa risiko untuk melarikan diri mungkin berlaku kerana Tun Daim masih sakit dan mungkin memerlukan perubatan di luar negara, sedangkan pasportnya tidak ditahan di mahkamah.

“Jika pasport pemohon ada bersamanya kemungkinan risiko untuk itu lebih tinggi yang mana pemohon ke luar negara dan tidak Kembali,” katanya.

Hakim berkata, jika pemohon ingin ke luar negara untuk membawa suami mendapatkan rawatan perubatan, dia boleh membuat permohonan di mahkamah dan akan diuruskan dengan segera.

Mengenai sama ada keputusan Mahkamah Sesyen telah melanggar hak Na’imah di bawah Perlembangaan Persekutuan, Ahmad berkata, haknya sebagai warganegara berubah selepas dia didakwa di mahkamah.

Artikel Berkaitan:

“Keadaan berubah daripada rakyat biasa kepada tertuduh, hak mutlak pemohon terhadap pasportnya juga telah berubah.

“Justeru, tindakan Hakim Mahkamah Sesyen menetapkan syarat tambahan berhubung penahanan pasport itu ialah sah, wajar dan tidak terdapat ketidakadilan yang berlaku,” katanya.

Katanya, kes-kes berprofil tinggi lain antaranya Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid; bekas Pengerusi Felda, Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad dan bekas Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor yang pernah didakwa di mahkamah, turut dikenakan syarat tambahan iaitu pasport di serahkan kepada mahkamah.

Pada 23 Januari lepas, Na’imah, 66, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen atas pertuduhan gagal mematuhi notis SPRM dengan tidak mengisytiharkan harta termasuk Menara Ilham serta beberapa hartanah sekitar Kuala Lumpur dan Pulau Pinang.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 36(2) Akta SPRM 2009 yang membawa hukuman penjara tidak melebihi lima tahun dan didenda maksimum RM100,000, jika sabit kesalahan.

Pada 29 Januari pula, suami beliau yang berusia 86 tahun turut didakwa atas pertuduhan sama membabitkan satu akaun bank, tujuh kenderaan mewah, 38 syarikat dan 25 hartanah, mengikut seksyen serupa.