Edar lebih 51kg dadah, operator kilang, jurudawai elektrik didakwa

Dua lelaki dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini pada Jumaat atas pertuduhan mengedar dadah seberat 51.501 kilogram (kg), minggu lalu. Gambar hiasan
Dua lelaki dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini pada Jumaat atas pertuduhan mengedar dadah seberat 51.501 kilogram (kg), minggu lalu. Gambar hiasan
A
A
A

KUALA KANGSAR - Dua lelaki dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini pada Jumaat atas pertuduhan mengedar dadah seberat 51.501 kilogram (kg), minggu lalu.

Mohamad Faez Abdul Halim, 33, yang merupakan operator kilang dan Shahrul Izhar Takhirul Anuar, 31, yang bekerja sebagai jurudawai elektrik mengangguk faham selepas pertuduhan terhadap mereka dibacakan di hadapan Majistret Mohd Shazmeer Zamhari.

Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan kerana kes itu di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Mereka didakwa bersama-sama didapati mengedar dadah berbahaya jenis methamphetamine seberat 51,501 gram di hadapan bangunan kedai No 108, Persiaran Bougainvillea Utama 4, Bougainvillea Utama di sini pada kira-kira pukul 4.10 petang, 16 Mac lepas.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 39B (1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39B (2) akta sama dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Ia memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup dan jika tidak dihukum mati hendaklah dihukum dengan minimum 12 sebatan jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Fahmi Kamaluddin manakala Shahrul Izhar diwakili peguam Hennie Soraya Hanafi sementara Mohamad Faez tidak diwakili peguam.

Mahkamah tidak membenarkan sebarang jaminan dan menetapkan 22 Mei depan sebagai tarikh sebutan semula kes bagi mendapatkan laporan kimia.

Artikel Berkaitan:

Pada 16 Mac, polis berjaya menumpaskan satu sindiket pengedaran dadah jenis Methamphetamine atau syabu dengan penahanan dua lelaki serta merampas dadah berkenaan yang dianggarkan bernilai RM2.57 juta di dalam sebuah kereta jenis Mercedes-Benz berhampiran sebuah bangunan. - Bernama

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28