Rempuh rumah, elak ditahan polis

Sebuah kereta jenis Perodua Kancil yang dinaiki tiga lelaki merempuh sebuah rumah ketika cuba melarikan diri daripada pihak polis di Kampung Kedondong, Pasir Mas pada Rabu.
Sebuah kereta jenis Perodua Kancil yang dinaiki tiga lelaki merempuh sebuah rumah ketika cuba melarikan diri daripada pihak polis di Kampung Kedondong, Pasir Mas pada Rabu.
A
A
A

PASIR MAS - Sebuah kereta jenis Perodua Kancil yang dinaiki tiga lelaki merempuh sebuah rumah ketika cuba melarikan diri daripada pihak polis di Kampung Kedondong, di sini pada Rabu.

Dalam kejadian jam 7.35 malam itu, ketiga-tiga suspek yang berusia 36 hingga 41 tahun bertindak melarikan diri dengan memecut kereta terbabit ke dalam kawasan kampung dan terbabas di tepi jalan setelah melalui laluan selekoh.

Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Asisten Komisioner Kama Azural Mohamed berkata, anggota tugas Ronda Cegah Jenayah (RCJ) di kawasan pentadbiran Balai Polis Meranti melihat sebuah kereta dinaiki tiga lelaki berhenti di tepi jalan dalam keadaan mencurigakan.

"Menyedari kehadiran polis, pemandu bertindak melarikan diri dengan memecut kereta tersebut ke dalam kawasan kampung.

"Bagaimanapun kereta suspek didapati terbabas di tepi jalan dan merempuh sebuah rumah setelah melalui laluan selekoh," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Menurut beliau, salah seorang suspek kemudian melarikan diri namun berjaya ditahan di kawasan semak berhampiran.

Ujarnya, kesemua suspek ditahan selepas dipercayai menghalang pihak polis yang sedang membuat rondaan cegah jenayah di kawasan Meranti.

Kama Azural memberitahu, hasil semakan rekod mendapati kesemua suspek mempunyai kesalahan lampau berkaitan kes jenayah dan dadah.

Artikel Berkaitan:

"Mereka direman selama empat hari bermula Khamis hingga Ahad untuk siasatan lanjut.

"Kes disiasat bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan," katanya.

Beliau menegaskan kepada orang ramai agar memberi kerjasama kepada pihak berkuasa yang menjalankan tugas.

Menurutnya, tindakan mengelak atau melarikan diri daripada diperiksa oleh pihak polis boleh mendatangkan kecurigaan kepada pemandu kenderaan dan perbuatan itu juga boleh mendatangkan bahaya kepada pengguna jalan raya yang lain.

Ujar Kama Azural, orang ramai yang mempunyai sebarang pertanyaan dan maklumat boleh menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Pasir Mas di talian 09-7932222.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!