Pasangan pertama kali bernikah digesa manfaat bantuan RM500

Jalaluddin (tiga dari kiri) ketika hadir pada Majlis Penyerahan Bantuan Fokus Kesejahteraan Rakyat dan Projek Mesra Rakyat Parlimen Jelebu di Kompleks UMNO Jelebu pada Khamis.
Jalaluddin (tiga dari kiri) ketika hadir pada Majlis Penyerahan Bantuan Fokus Kesejahteraan Rakyat dan Projek Mesra Rakyat Parlimen Jelebu di Kompleks UMNO Jelebu pada Khamis.
A
A
A

JELEBU - Anak-anak Negeri Sembilan yang pertama kali mendirikan rumah tangga digesa memanfaatkan sumbangan RM500 daripada kerajaan negeri seperti yang diumumkan dalam Belanjawan Negeri Sembilan 2024.

Exco Kanan Negeri Sembilan, Datuk Seri Jalaluddin Alias berkata, ia berikutan sambutan daripada golongan tersebut mengenai sumbangan itu dilihat masih dingin.

"Sumbangan itu sudah bermula tahun ini namun sedikit pelik apabila beberapa pejabat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan Parlimen tidak menerima permohonan daripada mereka.

"Malah beberapa DUN lain juga dimaklumkan tiada permohonan bagi sumbangan disediakan itu," katanya selepas Majlis Penyerahan Bantuan Fokus Kesejahteraan Rakyat dan Projek Mesra Rakyat (PMR) Parlimen Jelebu berjumlah RM541,000 di Kompleks UMNO Jelebu di sini pada Khamis.

Mengambil contoh di kawasannya, Jalaluddin berkata, sejak dari awal tahun sehingga sebelum Ramadan saban minggu menerima jemputan majlis perkahwinan, tetapi semakan mendapati tiada permohonan dibuat.

"Justeru, kita menggesa pasangan terlibat supaya membuat permohonan sumbangan yang disediakan itu melalui pejabat DUN masing-masing dengan membawa salinan sijil nikah," katanya.

Dalam pada itu, beliau turut memaklumkan bantuan lesen motosikal RM150 turut berdepan situasi sama.

"Bantuan itu terhad kepada 100 belia di setiap DUN namun ada banyak DUN yang masih tidak menerima permohonan termasuk di DUN Pertang dan Sungai Lui. Mungkin ada dalam kalangan mereka terlepas pandang atau tidak mengetahui bantuan itu disediakan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Dalam perkembangan lain, Jalaluddin yang juga Ahli Parlimen Jelebu berkata, peruntukan pembangunan Rolling Plan 2024 bagi penyambungan Projek Lingkaran Tengah Utama (LTU) melalui Simpang Pelangai, Karak ke Kuala Pilah, Negeri Sembilan mampu mengatasi kesesakan lalu lintas khususnya ketika musim perayaan.

Katanya, pembinaan jajaran baharu itu juga mampu memberi manfaat khususnya kepada ekonomi setempat.

"Selain projek penyambungan LTU, dua projek yang bakal memberi manfaat kepada penduduk di negeri ini dan Lembah Klang khusus untuk ke pantai timur adalah projek 'Outer Ring Road' membabitkan pembinaan jalan baharu dari Broga-Kampung Gagu dan Sungai Muntoh-Simpang Durian.

"Jalan baharu dari Sungai Muntoh-Simpang Durian yang bakal dibina dengan kos RM286 juta akan turut dihubungkan dengan jajaran baharu LTU dan ketika ini dalam proses tender," katanya.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28