Tingkat integriti, jauhi amalan 'sakau', hormati Ramadan - Anwar

Anwar berucap pada Perhimpunan Bersama Warga Kementerian Kewangan di Putrajaya pada Khamis. Foto Bernama
Anwar berucap pada Perhimpunan Bersama Warga Kementerian Kewangan di Putrajaya pada Khamis. Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Bulan Ramadan bukan sahaja bulan untuk meningkatkan iman dan amalan membaca al-Quran malah prestasi dalam pekerjaaan juga perlu dipandang serius, tegas Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Perdana Menteri dalam masa sama mengingatkan integriti bersih ketika bekerja juga harus menjadi keutamaan dalam menghormati bulan mulia ini.

"Ini dia puasa tapi sakau, sakau juga. Kemudian duit sakau itu tahun depan pergi umrah. Dan ini memang berlaku, kita tahu bukan suatu yang aneh.

"Jadi dia tidak relate dengan amalan peningkatan dari segi kerohanian itu dengan kerja amal kita," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap di Majlis Perhimpunan Warga Kementerian Kewangan di sini, pada Khamis.

Perdana Menteri juga memberi peringatan kepada penjawat awam dan masyarakat di luar untuk sentiasa memperbaiki kekurangan ketika dalam tempoh bekerja.

Sementara itu, beliau juga yakin pencapaian Kerajaan Madani bertambah baik selepas melihat sambutan diterima setiap kali melakukan kunjungan bertemu para pemimpin dan tokoh korporat luar negara.

"Baru-baru ini saya sembahyang tarawih di Masjid Berlin dan kemudian solat Jumaat di Masjid Hamburg, masyarakat Jerman dan Muslim itu semuanya luar biasa. Jadi rakan-rakan yang telah memberi perbandingan dari kunjungan terdahulu, jauh lebih baik.

Artikel Berkaitan:

"Kita harus terjemahkan ini. Maknanya potensi kita, kalau kita dapat kekalkan usaha ini dan tingkatkan sedikit lagi, saya fikir dua atau tiga tahun lagi, wajah Malaysia akan berubah. Tetapi ia memerlukan kesungguhan dan tekad semua," katanya.

Anwar berkata, pelabur Jerman dan juga dari negara Eropah lain yakin dengan Malaysia disebabkan kestabilan politik, dasar yang jelas dan kecekapan jentera kerajaan dalam proses kelulusan projek. - Awani

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28