Ringgit ditutup rendah berbanding dolar AS

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

RINGGIT meneruskan aliran penurunan hari ini apabila ditutup rendah berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada hari ketiga berturut-turut menjelang keputusan mengenai kadar faedah AS esok dan berikutan langkah Jepun melaksanakan kenaikan kadar pertamanya dalam tempoh 17 tahun, kata penganalisis.

Pada jam 6 petang, ringgit turun kepada 4.7350/7390 berbanding dolar AS daripada 4.7165/7195 semasa ditutup semalam.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata, Indeks Dolar AS meningkat 0.30 peratus kepada 103.893 mata menjelang keputusan mengenai kadar faedah oleh Rizab Persekutuan (Fed) AS, yang melemahkan mata wang tempatan.

"Tumpuan hari ini turut terarah kepada keputusan Bank of Japan (BOJ) untuk menaikkan kadar panggilan semalaman daripada -0.1 peratus kepada antara sifar dan 0.1 peratus dan untuk menghentikan pembelian dana dagangan bursa dan amanah pelaburan hartanah Jepun, iaitu sebahagian daripada kerangka dasar monetari kuantitatif dan kualitatif mereka,” katanya kepada Bernama.

Turut mempengaruhi sentimen adalah mesyuarat Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan (FOMC) AS yang akan bermula malam ini dan berakhir esok.

"Fed yang cenderung untuk menaikkan kadar faedah boleh memberikan sokongan lanjut kepada dolar dan sehubungan itu, (mesyuarat) akan dipantau dengan teliti oleh pasaran," katanya.

Ringgit diniagakan lebih tinggi berbanding sekumpulan mata wang utama

Mata wang tempatan meningkat berbanding yen Jepun kepada 3.1420/1451 daripada 3.1608/1630 pada Isnin, naik berbanding pound Britain kepada 5.9992/6.0043 daripada 6.0060/0098 dan mengukuh berbanding euro kepada 5.1318/13143 daripada sebelumnya.

Artikel Berkaitan:

Ringgit diniagakan bercampur-campur berbanding mata wang Asean lain.

Ia rendah berbanding baht Thailand kepada 13.1171/1354 daripada 13.1050/1203 semasa ditutup pada Isnin dan susut berbanding rupiah Indonesia kepada 301.2/301.6 daripada 300.5/300.9.

Bagaimanapun, mata wang tempatan meningkat berbanding dolar Singapura kepada 3.5249/5281 daripada 3.5253/5278 dan tinggi berbanding peso Filipina kepada 8.46/8.48 berbanding 8.49/8.50 sebelum ini. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!