Ringgit ditutup rendah berbanding dolar AS

Pada jam 6 petang, ringgit susut kepada 4.6845/6878 berbanding dolar AS daripada paras penutup 4.6765/6800 pada Selasa. Gambar hiasan.
Pada jam 6 petang, ringgit susut kepada 4.6845/6878 berbanding dolar AS daripada paras penutup 4.6765/6800 pada Selasa. Gambar hiasan.
A
A
A

RINGGIT mengalami pembetulan teknikal hari ini dan ditutup rendah berbanding dolar AS selepas mencatatkan peningkatan sejak beberapa hari lepas, kata seorang penganalisis.

Pada jam 6 petang, ringgit susut kepada 4.6845/6878 berbanding dolar AS daripada paras penutup 4.6765/6800 pada Selasa.

Ketua ahli ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata, bacaan teknikal menunjukkan ringgit telahpun berada dalam situasi terlebih beli.

Sementara itu, katanya, perhatian pelabur pada minggu depan akan tertumpu kepada mesyuarat Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan (FOMC) Amerika Syarikat (AS) yang berlangsung dari 19-20 Mac.

"Bahagian penting tentang mesyuarat itu adalah unjuran terkini Rizab Persekutuan AS (Fed) mengenai pembolehubah makroekonomi terutamanya Kadar Dana Fed.

"Pada Disember, Fed mengunjurkan tiga penurunan kadar pada tahun ini. Kita lihat nanti sama ada Fed akan mengubah unjuran mereka terutamanya selepas mengambil kira data terbaharu tersebut,” kata Mohd Afzanizam kepada Bernama.

Sementara itu, ringgit diniagakan kebanyakannya rendah berbanding kumpulan mata wang utama lain.

Unit tempatan meningkat berbanding yen Jepun kepada 3.1650/1672 daripada 3.1718/1744 pada Selasa tetapi turun berbanding pound Britain kepada 5.9840/9878 daripada 5.9808/9853 dan susut berbanding euro kepada 5.1164/1197 daripada 5.1114/1152.

Artikel Berkaitan:

Ringgit diniagakan bercampur-campur berbanding mata wang negara-negara Asean lain.

Mata wang tempatan meningkat berbanding baht Thai kepada 13.1053/1200 daripada paras 13.1436/1601 pada Selasa dan hampir tidak berubah berbanding peso Filipina kepada 8.45/8.47 daripada 8.45/8.46.

Ringgit naik berbanding dolar Singapura kepada 3.5121/5149 daripada 3.5133/5162 tetapi berkurang berbanding rupiah Indonesia kepada 300.7/301.1 daripada 299.9/300.3 sebelumnya. - Bernama

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28