X

Kindly register in order to view this article
!

NUTP harap Tun M teruskan agenda pendidikan sedia ada

NUTP
A
A

SHAH ALAM - Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Semenanjung Malaysia (NUTP) berharap dasar dan agenda yang diperkenalkan oleh bekas Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik terutama dalam membantu meringankan tugas guru diteruskan oleh Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang kini memangku jawatan itu.

Malah Presidennya, Aminuddin Awang bersetuju sekiranya perkara tersebut ditambah baik bagi memastikan guru dapat mendidik pelajar tanpa dibebani dengan tugas-tugas lain selain memperkasakan dasar pendidikan di Malaysia.

"Pertamanya pendekatan yang diperkenalkan Maszlee berkaitan beban tugas guru di sekolah yang berjaya dikurangkan kita harap ia dikekalkan dan diteruskan.

"Kedua usaha yang sedang diperbaiki berkaitan dengan isu penyelenggaraan peralatan teknologi berkaitan maklumat (ICT) dan rangkaian internet di sekolah agar guru selesa serta dapat menyelesaikan tugas dengan cepat juga kita harap diteruskan," katanya kepada Sinar Harian semalam.

Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Samad semalam memaklumkan bahawa Dr Mahathir akan memangku jawatan Menteri Pendidikan bagi tempoh sementara waktu sehingga pengganti dikenal pasti.

Katanya, setiap pihak perlu memahami bahawa jawatan menteri dalam barisan Kabinet kerajaan pada hari ini ditentukan berdasarkan kuota parti masing-masing.

Jelasnya, bagi jawatan Menteri Pendidikan, kuota tersebut diperuntukkan kepada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan kepimpinan parti itu mempunyai hak menentukan penggantinya.

Mengulas lanjut, Aminuddin turut berharap agenda memperkasakan Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) negara diteruskan sama seperti apa yang dilakukan Maszlee.

"Diharapkan Dr Mahathir tidak membuat pembaharuan dasar dalam masa terdekat kerana guru-guru masih trauma dengan senario setiap kali pertukaran menteri, maka berlaku perubahan dasar," katanya.

Menurutnya, beliau yakin dengan pengalaman yang dimiliki Dr Mahathir dalam pentadbiran negara mampu menyelesaikan isu-isu yang timbul seperti tulisan jawi dan sekolah vernakular yang dipolitikkan.

"Beliau juga pernah memegang jawatan Menteri Pendidikan sebelum ini dan kita harapkan pengalaman serta kebijaksanaan beliau dapat menyelesaikan masalah ini.

"Kita tidak mahu pendidikan di negara ini terus dipolitikkan oleh mana-mana pihak," katanya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!