Polis buru lelaki berpangkat Datuk, 4 warga Afrika

Laporan Sinar Harian. (Gambar kecil: Mohd Azam)
Laporan Sinar Harian. (Gambar kecil: Mohd Azam)
A
A
A

AMPANG - Polis sedang memburu seorang lelaki tempatan berpangkat Datuk dan empat lelaki warga Afrika yang dipercayai terbabit dengan kes samun pemilik restoran dalam urus niaga emas di Taman Melawati, pada Jumaat lalu.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohd Azam Ismail berkata, lelaki tempatan itu berperanan sebagai orang tengah, manakala empat lelaki warga asing merupakan suspek utama.

"Siasatan awal mendapati mangsa dikatakan kali pertama berurusan dengan suspek terbabit dalam urus niaga berkaitan jongkong emas.

"Mangsa dikatakan membuat urusan beli dengan suspek untuk mendapat keuntungan segera apabila harga emas naik. Dalam kes ini, kami masih belum dapat wang yang dilarikan oleh suspek berkenaan," katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Pada Isnin, media melaporkan, seramai tiga wanita berusia 31 hingga 58 tahun ditahan kerana disyaki terlibat dalam kes samun itu.

Mohd Azam dilaporkan berkata, mangsa kemudian diminta menaiki sebuah kereta Proton Gen2 untuk mengambil emas berkenaan dan didakwa dibawa pusing tiga kali mengelilingi sebuah pusat beli-belah.

Mangsa kemudian dibawa ke Jalan G1, Taman Melawati dan kereta itu berhenti di tepi jalan sebelum empat suspek lelaki warga asing dengan seorang daripadanya mengacukan pistol ke arah kepala mangsa.

Suspek juga menggunakan penyembur lada, kemudian merampas beg yang mengandungi wang tunai berjumlah RM300,000, kesemua suspek terus melarikan diri dengan menaiki kereta lain.

Artikel Berkaitan:

Kes disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28