Malaysia tandatangani 9 perjanjian sempadan maritim

Mohamad Alamin
Mohamad Alamin
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kerajaan telah menandatangani sembilan perjanjian persempadanan maritim dengan pelbagai negara jiran sehingga kini.

Timbalan Menteri Luar Negeri, Datuk Mohamad Alamin berkata, terbaharu, Malaysia berjaya memeterai dua triti persempadanan maritim bersama Indonesia iaitu Triti Selat Melaka dan Triti Laut Sulawesi pada 8 Jun 2023 di Seri Perdana, Putrajaya.

“Kesemua perjanjian atau triti ini sedang dikuatkuasakan dan dilaksanakan kerajaan.

“Saya ingin tegaskan bahawa kita tidak pernah dan tidak akan sekali-kali mengambil ringan dalam membuat sebarang keputusan melibatkan isu kedaulatan Malaysia, termasuk isu berhubung persempadanan maritim negara.

“Kita akan sentiasa memastikan bahawa setiap keputusan yang dibuat dan dipersetujui tidak akan menjejaskan kedaulatan dan kepentingan negara. Kerajaan juga tidak akan berganjak atau berkompromi dalam isu ini,” katanya di Dewan Rakyat pada Selasa.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Datuk Seri Dr Ronald Kiandee (PN-Beluran) yang meminta kerajaan menyenaraikan perjanjian persempadanan maritim yang telah ditandatangani oleh kerajaan sehingga kini serta apakah tindakan susulan yang diambil.

Tambah Mohamad, langkah pemeteraian sesebuah perjanjian persempadanan maritim ini hanya akan dipersetujui setelah mengambil kira elemen-elemen penyelesaian yang dapat dicapai secara bersama dengan sesebuah negara.

Jelasnya, ia menggunakan prinsip-prinsip pembatasan sempadan maritim berdasarkan justifikasi perundangan dan teknikal yang kukuh bagi menyelesaikan isu-isu pembatasan sempadan maritim.

Artikel Berkaitan:

“Pada masa yang sama, bagi menyelesaikan isu persempadanan Malaysia yang tertunggak bersama negara-negara lain, pihak kerajaan akan terus kekal komited dalam melaksanakan rundingan bersama negara-negara yang terlibat ini dengan tujuan untuk menghasilkan penyelesaian yang dapat diterima oleh kedua-dua pihak.

“Hal ini penting bagi memastikan bukan sahaja kedaulatan negara terjamin, malah hubungan diplomatik antara Malaysia dan negara-negara tersebut juga boleh kekal terpelihara,” katanya.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28