Kerajaan ambil tindakan ‘sindrom terlupa anak’ - Nancy

Nancy ketika sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri sempena Sidang Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen. Foto Bernama
Nancy ketika sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri sempena Sidang Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen. Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) menjalinkan kolaborasi yang aktif dan berkongsi maklumat bersama agensi lain bagi meningkatkan kesedaran awam agar ‘sindrom terlupa anak’ di dalam kereta sehingga meragut nyawa tidak berulang.

Menterinya, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, antara usaha yang telah dilaksanakan ialah meningkatkan kesedaran dan memberi peringatan melalui media.

Menurutnya, ia termasuklah hebahan tips dalam bentuk video dan infografik di media sosial, portal berita tempatan serta media perdana.

“Kita juga telah membuat hebahan melalui emel kepada semua pegawai perhubungan korporat di kementerian, jabatan, agensi persekutuan dan negeri, hospital serta institusi pengajian awam yang mengandungi bahan-bahan promosi kempen ‘Jangan Tinggal Anak Bersendirian Dalam Kenderaan’ untuk mereka kongsikan dengan warga masing-masing.

“Kami di KPWKM juga telah mengambil inisiatif dengan membuat pengumuman melalui alat siaraya di bangunan KPWKM sejak 21 Februari 2024.

“Dalam hal ini, semua pihak boleh memainkan peranan masing-masing, namun pemain utamanya adalah ibu bapa itu sendiri. Justeru, kita boleh membantu diri kita sendiri untuk tidak lupa dengan mengambil pelbagai pendekatan antaranya seperti meletakkan barang penting seperti beg duit, telefon bimbit atau komputer riba di tempat duduk belakang bersama anak,” katanya di Dewan Rakyat pada Selasa.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Datuk Teo Eng Tee @ Teo Kok Chee sewaktu sesi pertanyaan lisan Dewan Negara tentang tindakan kementerian untuk mengelakkan isu berkenaan berulang.

Tambah Nancy, ‘sindrom terlupa anak’ di dalam kereta boleh berlaku disebabkan pelbagai faktor, antaranya perubahan rutin harian, tekanan atau stres, berfikir tentang perkara penting yang lain semasa memandu, keletihan, kelesuan atau cuba melakukan pelbagai tugas serentak.

Artikel Berkaitan:

“Terdapat kajian oleh pakar akademik psikologi di sebuah universiti di Amerika Syarikat yang mendapati bahawa kebanyakan kes terlupa anak ini bukanlah masalah ibu bapa cuai atau tidak baik, tetapi ia berkait dengan masalah memori.

“Ia bergantung kepada keadaan dan boleh berlaku kepada sesiapa sahaja, terutamanya apabila membabitkan anak kecil yang belum mampu bersuara atau sedang tidur.

“Dalam hal ini, KPWKM sentiasa berusaha agar tragedi meninggalkan anak-anak di dalam kereta sehingga meragut nyawa tidak berulang,” jelasnya.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28