Status pembinaan 18 pesawat pejuang FA-50M TUDM capai 26.7 peratus

Timbalan Menteri Pertahanan, merangkap Ahli Parlimen Alor Gajah, Adly Zahari ketika sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri sempena Sidang Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen pada Selasa.Foto Bernama
Timbalan Menteri Pertahanan, merangkap Ahli Parlimen Alor Gajah, Adly Zahari ketika sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri sempena Sidang Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen pada Selasa.Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Status kemajuan terkini pembinaan 18 pesawat pejuang ringan FA-50M bagi Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) kini telah mencapai 26.7 peratus, Dewan Rakyat diberitahu pada Selasa.

Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari berkata, berdasarkan kepada jadual perolehan, dua pesawat pejuang ringan itu dijangka diterima pada suku ketiga 2026 dan selebihnya akan diterima secara berperingkat hingga penghujung 2027.

"Nilai perolehan (pesawat) ialah RM3.8 bilion. Perolehan pesawat ini berdasarkan perancangan TUDM, iaitu Pelan Pembangunan Keupayaan TUDM 2055 (CAP55) yang menyasarkan perolehan pesawat platform tunggal dua tempat duduk yang berkemampuan melaksanakan tugas dwifungsi iaitu sebagai pesawat latihan lanjutan untuk tujuan latihan bakal juruterbang pejuang dan juga sebagai pesawat tempur ringan (LCA) bagi keperluan operasi.

"Berdasarkan perancangan pesawat, LCA ini akan dipakai hingga 2045 berdasarkan polisi casting, pesawat pejuang serta akan melalui program mid-life upgrade iaitu bagi memastikan ia kekal beroperasi hingga 2055,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat pada Selasa.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Ahmad Tarmizi Sulaiman (PN-Sik) yang ingin tahu jangkaan perolehan status terkini pembelian 18 pesawat FA-50M bagi kegunaan TUDM.

Semasa pameran Aeroangkasa dan Maritim Antarabangsa Langkawi (LIMA) pada Mei tahun lepas, Kementerian Pertahanan dan syarikat aeroangkasa utama Korea Selatan Korea Aerospace Industries (KAI) menandatangani kontrak untuk memperoleh 18 pesawat pejuang ringan FA-50M.

Pesawat pejuang ringan FA-50M yang bakal diperoleh TUDM ialah varian FA-50 Block 20 yang paling moden dan berkeupayaan, berbanding varian lain yang diperoleh negara lain termasuk Korea Selatan dan beberapa negara di Asia Tenggara.

Pesawat pejuang ringan FA-50/T-50 buatan Korea Selatan itu, turut digunakan oleh tentera udara Thailand, Indonesia dan Filipina di Asia Tenggara. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!