Pengukuhan dolar AS dorong penyusutan nilai ringgit - MoF

Penyusutan nilai ringgit baru-baru ini sebahagian besarnya didorong oleh pengukuhan dalam dolar AS dan ketidaktentuan pertumbuhan ekonomi China. Foto hiasan
Penyusutan nilai ringgit baru-baru ini sebahagian besarnya didorong oleh pengukuhan dalam dolar AS dan ketidaktentuan pertumbuhan ekonomi China. Foto hiasan
A
A
A

KUALA LUMPUR - Penyusutan nilai ringgit baru-baru ini sebahagian besarnya didorong oleh pengukuhan dalam dolar Amerika Syarikat (AS) dan ketidaktentuan pertumbuhan ekonomi China, menurut Kementerian Kewangan.

Kementerian Kewangan (MoF) menerusi jawapan di laman sesawang Parlimen menyatakan, faktor ini turut memberi kesan kepada mata wang serantau yang lain.

"Sejak Mac 2022, bank pusat Amerika Syarikat (AS) telah menaikkan kadar faedah dengan mendadak dan agresif sebanyak 525 mata asas dari 0.25 peratus kepada julat 5.25 hingga 5.50 peratus berbanding kadar dasar semalaman (OPR) Malaysia hanya dinaikkan sebanyak 125 mata asas dari 1.75 peratus kepada 3.00 peratus.

"Peningkatan OPR yang lebih rendah dan perbezaan ketara dalam kadar faedah dengan AS sebanyak 250 mata ini, mendorong pelabur asing untuk mengalihkan modal keluar dari pasaran domestik ke pasaran luar negara yang memberikan pulangan lebih tinggi," katanya.

Kementerian itu menjawab soalan Datuk Siti Zailah Mohd Yusoff (PN-Rantau Panjang) yang meminta penjelasan berkaitan sebab penyusutan nilai ringgit dan kesan kepada negara.

Kementerian Kewangan berkata, sebagai negara pengeksport, penyusutan nilai ringgit memampan pendapatan sektor berorientasikan eksport melalui penterjemahan keuntungan (translation gains) dalam jangka pendek.

"Kerajaan peka bahawa penurunan nilai ringgit akan meningkatkan kos urus niaga import dan mengurangkan pendapatan boleh guna dan simpanan isi rumah.

"Dalam pada itu, kerajaan juga mengakui bahawa impak penyusutan nilai ringgit adalah lebih tinggi terhadap barangan import termasuk makanan yang merangkumi daging dan tenusu, ikan dan makanan laut, buah-buahan dan sayur-sayuran.

Artikel Berkaitan:

"Akan tetapi, harga komoditi global yang menyederhana sedikit sebanyak membendung sebahagian kesan penurunan nilai ringgit terhadap inflasi," kata kementerian itu.

Berdasarkan analisa Bank Negara Malaysia, penurunan sebanyak lima peratus dalam kadar pertukaran ringgit berbanding dengan USD dikaitkan dengan kenaikan sekitar 0.2 mata peratusan secara purata dalam Indeks Harga Pengguna (IHP), namun impak penyusutan nilai ringgit terhadap IHP adalah terkawal.

"Kerajaan juga merancang langkah pelaksanaan pemberian subsidi yang lebih berkesan dan bantuan pendapatan bersasar terutamanya bagi membantu golongan yang terjejas. Ini akan memastikan pengukuhan fiskal dapat dicapai melalui perbelanjaan yang lebih produktif," katanya. - Bernama

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28