Kesilapan paparan kadar tukaran asing Google boleh bawa impak negatif

Laporan Sinar Harian pada Isnin.
Laporan Sinar Harian pada Isnin.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kesilapan paparan kadar pertukaran asing Google yang menyiarkan sebut harga dolar AS/ringgit yang salah pada 15 Mac lepas sebetulnya adalah suatu yang agak membimbangkan.

Ini merupakan kesilapan kali kedua dalam tempoh singkat 40 hari, yang jika dibiarkan begitu sahaja boleh menjejaskan sentimen dan menyebabkan kerugian kewangan, walaupun Google Malaysia telah membuat permohonan maaf menerusi laman X (dahulunya dikenali sebagai Twitter) agensi itu.

Kesilapan pertama berlaku pada 6 Februari melibatkan pemaparan kadar pertukaran dolar AS/ringgit pada RM6.24 yang sememangnya sangat salah, manakala kesilapan pada 15 Mac memaparkan kadar pertukaran pada RM4.98.

Padahal keadaan sebenarnya adalah ringgit diniagakan antara paras RM4.68 dan RM4.70 berbanding dolar AS pada minggu lepas.

Google Finance menyediakan di halaman pertukaran mata wangnya carta satu hari, lima hari, satu bulan, enam bulan, satu tahun, lima tahun dan maksimum. Kesilapan pada Mac hanya terpapar di carta lima hari Google Finance dan tidak di carta lain.

Meskipun teguran daripada Bank Negara Malaysia (BNM) dan kerajaan, namun kesilapan itu tidak diperbetulkan selama tempoh 24 jam seterusnya.

Perlu diingatkan bahawa Malaysia bukanlah negara pertama yang mengalami perkara ini, dengan insiden serupa berlaku pada tahun-tahun sebelum ini melibatkan Ghana, Pakistan, Maghribi dan Nigeria, yang seterusnya menjejaskan kadar pertukaran antara dolar dan mata wang tempatan negara masing-masing. Insiden ini telah dilaporkan secara meluas.

Maklumat kadar pertukaran penting untuk rujukan bagi pelbagai keputusan kewangan, termasuk tetapi tidak terhad kepada pertukaran mata wang, perdagangan antarabangsa, keputusan pelaburan dan keputusan berkaitan pertukaran asing lain.

Artikel Berkaitan:

Walaupun negara-negara yang terlibat dengan insiden ini tidak memaklumkan kerugian kewangan mereka secara langsung di forum umum atau saluran berita utama, potensi kerugian tersebut wujud.

Insiden yang tidak dilaporkan secara meluas juga menunjukkan bahawa sama ada kesilapan sedemikian jarang berlaku dan diperbetulkan dengan cepat atau kesannya adalah minimum susulan amalan pengesahan silang.

Bagaimanapun, ketiadaan laporan yang diumumkan bukan bermakna tidak berlakunya kerugian, kerana pihak yang terjejas mungkin menyelesaikan isu tersebut secara peribadi atau melalui saluran perkhidmatan pelanggan tanpa menggunakan forum umum atau tindakan undang-undang.

Walaupun sekiranya kerugian kewangan benar-benar tidak berlaku, kekalutan yang berpunca daripada kesilapan tersebut dan kesan buruk terhadap negara masing-masing dari segi persepsi dan kestabilan sudah pastinya suatu yang merugikan dan tidak wajar.

Oleh itu, sebagai enjin carian yang berwibawa, Google harus berhati-hati dalam mendapatkan kadar pertukaran yang disahkan daripada bank pusat dan institusi kewangan berbanding sebutan yang diperoleh daripada laman sesawang.

Apabila masalah yang sama berlaku kepada dirham Maghribi tahun lepas, bank pusatnya, Bank Al-Maghrib (BAM), terpaksa tampil dan menafikan spekulasi bahawa mata wang negara itu susut kira-kira 70 peratus daripada nilainya kerana insiden itu dilaporkan mencetuskan keadaan panik di seluruh negara dalam kalangan warga sibernya (netizen).

Penafian Google tentang kadar pertukaran mata wang menyatakan: "Google tidak dapat menjamin ketepatan kadar pertukaran yang dipaparkan. Anda harus mendapatkan pengesahan tentang kadar semasa sebelum membuat sebarang transaksi yang boleh dipengaruhi oleh perubahan dalam kadar pertukaran.”

Profesional kewangan sering merujuk silang kadar pertukaran daripada pelbagai sumber sebelum melaksanakan transaksi penting untuk mengurangkan risiko kerugian akibat kesilapan seperti ini.

Begitu juga, institusi dan perkhidmatan kewangan yang bereputasi turut membuat semakan untuk mengelakkan pergantungan pada data yang tidak tepat. Bagaimanapun, perkhidmatan sedemikian mungkin tidak dapat dicapai oleh rakyat biasa, yang seterusnya boleh mencetuskan situasi panik dan kekalutan dengan kesan yang memudaratkan.

Walaupun kerugian sebenar kewangan boleh dikurangkan atau diminimumkan melalui mekanisme sedia ada, platform media sosial seperti TikTok, X, Facebook dan platform lain yang digunakan secara meluas membolehkan pihak yang tidak bertanggungjawab menyalahgunakan maklumat sedemikian untuk menimbulkan fitnah ke atas dasar dan inisiatif kerajaan.

Ditambah dengan peningkatan perkhidmatan yang dipacu kecerdasan buatan (AI) seperti ChatGPT daripada OpenAI, malang sekali risiko maklumat salah dan unjuran yang tidak boleh dipercayai seperti insiden Google ini dijangka terus meningkat.

Nasihat untuk rakyat biasa adalah apabila berhadapan dengan maklumat yang mencurigakan mengenai kadar pertukaran, mereka perlu merujuk kepada laman sesawang BNM untuk mengesahkan kesahihan maklumat yang diterima. - Bernama

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28

@sinarharianonline

Kesilapan paparan kadar tukaran asing Google boleh bawa impak negatif #fyp #SinarHarian #SinarTerkini #Semasa #Nasional #Google #MataWang #Ringgit #Dolar #AS #Kewangan #Ekonomi

Earned It (Fifty Shades Of Grey) - A Tribute to The Weeknd - Saxtribution