'Anak kecil, susah dijaga sebaiknya tidak dibawa ke masjid'

Zulkifli
Zulkifli
A
A
A

SHAH ALAM - Kanak-kanak masih kecil dan susah dijaga sehingga boleh mengganggu jemaah ketika bersolat sebaiknya tidak dibawa ke masjid.

Bekas Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad al-Bakri berkata, sekiranya kanak-kanak tersebut tidak menganggu, namun dibimbangi oleh ibu bapa terhadap keadaannya, maka dibolehkan untuk diletakkan bersebelahan ketika solat.

“Kami syorkan dalam keadaan sebegini, ibu bapa bersolat di tepi dinding (hujung saf) dan anaknya diletakkan di hujung sekali.

"Jika mereka mampu berdikari, lebih diutamakan untuk letak di saf kanak-kanak.

"Sepatutnya diwujudkan penyelia yang mengawasi atau membimbing kanak-kanak ketika dalam saf agar mereka dapat bersolat sebaik mungkin, memberi nasihat serta mengajarkan adab menghormati masjid,” katanya.

Beliau berkata demikian menerusi perkongsian di laman web rasmi Jabatan Wilayah Persekutuan bertajuk Bayan Linnas Siri ke-63: Masjid dan Kanak-Kanak.

Sebelum ini, tular video seorang warga emas yang juga ahli jawatankuasa Masjid al-Falah di Jempol, Negeri Sembilan ditarik kerusi oleh kanak-kanak lelaki menyebabkannya jatuh terduduk.

Artikel Berkaitan:

Anak kecil, susah dijaga sebaiknya tidak dibawa ke masjid. Gambar hiasan.
Anak kecil, susah dijaga sebaiknya tidak dibawa ke masjid. Gambar hiasan.

Individu bernama Mohd Kassim Maarof, 63, memaklumkan, dia sama sekali tidak menyedari kerusi yang digunakannya untuk solat telah ditarik ketika hendak sujud, bagaimanapun mengakui sudah memaafkan kanak-kanak berkenaan.

Terbaharu, tular pula video berdurasi 30 saat di platform X memaparkan seorang kanak-kanak bertindak agresif dengan memanjat belakang badan jemaah wanita sambil menyepak tubuh badan jemaah lain di sebuah masjid sehinggakan insiden tersebut menjadi bualan warganet.

Dr Zulkifli turut menjelaskan hukum membawa kanak-kanak ke masjid adalah diharuskan menurut Imam asy-Syaukani, namun terdapat pandangan lain daripada Maliki, Hambali dan Syafie yang mana kategori belum mumaiyiz dilarang atau tidak dibenarkan dibawa ke rumah ibadat itu.

“Ia berdasarkan hadis Riwayat al-Baihaqi, ‘jauhilah masjid-masjid kalian daripada anak-anak kecil kalian’.

“Pendapat Imam al-Hafiz Ibnu Hajar al-Asqalani, Imam asy-Syaukani dan lain-lain pula, kanak-kanak dibolehkan untuk hadir ke masjid.

“Berdasarkan hadis riwayat Muslim, ‘Aku melihat nabi mengimami solat sedang baginda mendukung Umamah binti Abi al-As yang juga anak perempuan Zainab binti Rasulullah. Apabila rukuk, baginda meletakkannya dan apabila bangun dari sujud baginda mengangkatnya semula,” ujar beliau.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!