[VIDEO] Bekas isteri Safee Sali tuntut hak penjagaan anak

A
A
A

SHAH ALAM - Kes tuntutan hadanah difailkan Fitria Elfina Maharip, 44, terhadap bekas suaminya, Mohd Safee Mohd Sali, 42, berhubung hak penjagaan dua anak perempuan mereka akan diteruskan di Mahkamah Tinggi Syariah di sini.

Ia berikutan apabila kedua-dua pihak hari ini gagal mencapai kata sepakat atau penyelesaian pada prosiding sulh yang dijalankan berhubung tuntutan itu pada Isnin.

Perkara itu dimaklumkan peguam syarie, Amir Syazwan Ahmad Fauzi yang mewakili Fitria Elfina ketika ditemui pemberita selepas prosiding kes sulh di Mahkamah Tinggi Syariah di sini.

Amir Syazwan (kanan) yang mewakili Fitria Elfina (kiri) ketika ditemui pemberita pada Isnin.
Amir Syazwan (kanan) yang mewakili Fitria Elfina (kiri) ketika ditemui pemberita pada Isnin.

"Sulh (hari ini) tidak berjaya jadi kita akan terus proses kepada sebutan di mana sebutan (ditetapkan) pada 9 Mei depan,” kata peguam syarie itu.

Prosiding sulh ialah suatu perundingan dan perbincangan di antara pihak-pihak di hadapan pegawai berkaitan perkara yang dipertikaikan terhadap satu atau beberapa tuntutan di Mahkamah Syariah.

Fitria Elfina (dua dari kanan) mendakwa tidak dapat bertemu dengan dua anak mereka sejak 6 Februari lalu.
Fitria Elfina (dua dari kanan) mendakwa tidak dapat bertemu dengan dua anak mereka sejak 6 Februari lalu.

Hadanah bermaksud penjagaan kanak-kanak yang masih kecil dan belum berupaya untuk menguruskan dirinya sendiri, sama ada lelaki atau perempuan, sama ada dalam tempoh perkahwinan atau selepas perceraian.

Artikel Berkaitan:

Bagaimanapun maklumat terperinci mengenai permohonan itu tidak didedahkan secara terperinci.

Untuk rekod, Mohd Safee atau lebih dikenali dengan nama Safee Sali merupakan bekas pemain bola sepak kebangsaan juga merupakan antara penyerang terbaik di Asia Tenggara.

Safee Sali bernikah dengan Fitria Elfina yang merupakan warga Indonesia pada 21 Disember 2013.

Ini merupakan perkahwinan kali kedua buat Safee Sali di mana sebelum ini beliau mendirikan rumah tangga dengan Sabarina Yusoff pada tahun 2007 dan membuat keputusan untuk bercerai pada tahun 2012.

Safee Sali dilihat keluar dari Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam lebih awal namun enggan untuk bertemu dengan pihak media.
Safee Sali dilihat keluar dari Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam lebih awal namun enggan untuk bertemu dengan pihak media.

Hasil perkahwinan terdahulu, Safee dikurniakan dua orang cahaya mata dan juga mempunyai dua cahaya mata perempuan berusia tujuh dan sembilan tahun bersama Fitria Elfina.

Fitria Elfina ketika ditemui pemberita memaklumkan dia tidak dapat bertemu dan berkomunikasi dengan dua anaknya itu sejak 6 Februari lalu dan tidak mengetahui di mana keberadaan mereka.

"Sepanjang Ramadan ini saya tidak pernah jumpa anak-anak dan rindukan mereka dan saya akan perjuangkan (hak penjagaan anak) untuk anak-anak sebab 100 peratus saya yang menjaga anak-anak serta tidak pernah berpisah dengan anak-anak," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!